Tuesday, January 20, 2009

ISLAM SEDIA : ISLAM SEBENAR @ ISLAM KETURUNAN

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Buat permulaannya saya rasmikan penulisan saya dlm blog ini dengan tajuk di atas sebagai tajuk pembukaan. Tajuk ini cukup cantik untuk di lontarkan, di fikirkan, di bahaskan dan dianalisis isinya untuk kesedaran dan penambahbaikan dari segala sudut dan aspek. Terlebih dahulu saya perlu jelaskan di sini bahawa tajuk ini tidaklah ditujukan kepada keseluruhan masyarakat Islam sedia. Tetapi saya lontarkan sekadar menjadi buah fikiran kepada sebahagian besar masyarakat Islam sedia yang tidak jelas statusnya samada ISLAM SEBENAR @ ISLAM KETURUNAN. Islam sedia adalah istilah yang biasa digunakan sebagai panggilan bagi penganut Islam di Sabah daripada suku yang menjadi penganut agama itu secara turun temurun. Sumber, buku ISLAM DI SABAH, karangan MUHIDDIN YUSIN, cetakan Dewan Bahasa Dan Pustaka 1990.

Sejak saya bergiat dalam mendidik saudara kita (mualaf) di Kota Kinabalu. Saya dapati saudara kita ini memeluk Islam dengan sepenuh hati samada disebabkan telah nampak kebenaran Islam, sebab perkahwinan atau sebab lain-lain. Mereka juga nampak bersungguh-sungguh dalam mempelajari dan memahami Islam dengan sebaik mungkin. Mereka juga berusaha untuk menjadi Islam yang sebenar dengan lebih tepat lagi ingin menjadi seorang insan yang boleh mentaati syariat Islam dengan sebaiknya. Namun apa yang menyedihkan, ada di antara kalangan saudara kita ini yang keliru apa yang dipelajari di kelas agama dengan apa yang mereka dengar dari masyarakat Islam sedia di luar.

Persoalannya, kenapakah perkara sebegini boleh berlaku kepada orang yang baru memeluk Islam. Ibarat kanak-kanak baru belajar merangkak, diletakkan permainan penuh di hadapannya. Adakah disebabkan para ustaz-ustaz mengajar ajaran salah?, ajaran sesat?. Adakah masyarakat Islam sedia di luar sana memang betul dalam menjelaskan sesuatu hal berkaitan Islam?. Mungkin juga pengetahuan masyarakat Islam sedia di luar sana mengatasi pengetahuan guru-guru agama yang telah diperakui kebolehan mereka dengan pentauliahan mengajar dari Pejabat Mufti?. Bagaimana persoalan sebegini boleh timbul?.

Persoalan sebegini boleh timbul disebabkan wujudnya beberapa kerat dari masyarakat Islam sedia kita yang tidak mempunyai asas pengetahuan Islam yang cukup. Ini bukan salah ibu mengandung, iIbu melahirkan dan bukan salah ibu yang tidak memberi ajaran agama. Tetapi yang dapat kita lihat adalah kelemahan masyarakat Islam sedia kita sendiri yang tidak mempunyai minat yang tinggi untuk menuntut Ilmu. Buktinya, berapa ramai masyarakat Islam sedia yang menghadiri kuliah-kuliah samada di masjid-masjid, di dewan-dewan hinggalah di hotel-hotel. Berapa ramai masyarakat Islam sedia kita menghadiri program agama berbanding program hiburan?. Untuk lebih jelas lagi keluarlah kepada masyarakat secara terus dan bertanyakan kepada mereka berapa rukun mandi wajib, rukun, wudhu, rukun solat dan lain-lain yang asas.

Sebenarnya masyarakat Islam sedia kita tidak boleh menafikan persoalan ini, perkara ini betul-betul terjadi pada masyarakat kita. Tanyalah diri kita masing-masing apakah benar persoalan ini. Sekiranya tidak benar, kenapa ramai masyarakat Islam sedia yang kita temui mengakui tidak mengetahui apa-apa tentang asas Islam. Begitu juga dengan pelajar-pelajar saya yang Islam sedia. Kenapa masih ada saudara kita yang memeluk Islam diminta mandi dan minum air tanah sebagai SAMAK badan?. Kerana mereka masih dalam keadaan najis, maksudnya sebelum Islam mereka pegang dan makan benda-benda haram. Jadi seharusnya mereka mandi dan minum air tanah untuk samak diri mereka. Kenapa ramai pelajar saya saudara kita yang telah berkahwin 5 hingga 20 tahun tetapi tidak tahu mengerjakan solat?.Bukankah itu menunjukkan suami-suami mereka tidak tahu solat. Berapa ramai saudara Islam sedia kita yang berada di permis nombor ekor?. Pernah sekali berlaku majlis berbuka puasa di sebuah dewan yang dihadiri 300 tetamu, tetapi bila solat isyak dan tarawih cuma ada 8 orang. adakah 292 orang lagi tu tetamu bukan Islam?mustahil. Sebenarnya banyak lagi cerita-cerita yang pelik-pelik kita dengar berkaitan dengan masyarakat Islam sedia ini. Persoalannya sanggupkah kita mengopek jerawat batu yang betul-betul berada pada batang hidung kita?. Apakah punca kepada kelemahan ini?

Punca pada kelemahan ini adalah masyarakat Islam sedia kita tidak sedar yang kita ini adalah Islam yang sepatutnya mesti menjadi seorang Islam yang sebenar. Kita terlalu selesa dengan Islam yang ada pada diri kita sehingga lupa apa yang perlu kita buat sebagai seorang Islam. Kita merasakan yang diri kita sudah Islam, sedangkan kita ialah Islam hanya pada nama. Tanyalah siapa pun “kenapa kamu Islam”, kebanyakan akan menjawab “aku Islam sebab ibubapa aku Islam, aku dilahirkan sebagai seorang Islam, sebab itulah aku Islam”,? jawapan ini menunjukkan kita adalah ISLAM KETURUNAN. Sekiranya ISLAM KETURUNAN ini tidak diisi dengan ajaran ISLAM SEBENAR. Terjadilah seorang Islam yang tidak ada asas Islam bercakap hal yang berkaitan Islam sehingga membuat orang lain keliru. Lebih parah lagi sehingga meminta saudara kita mandi dan minum air tanah sebagai SAMAK badan.

Pada kesempatan ini, saya berpesan kepada diri saya dan saudara-saudara Islam saya samada yang Islam sedia mahupun saudara kita. Marilah kita bersama-sama mempertingkatkan pengetahuan kita, samada dari ilmu yang asas sampailah kepada yang ilmu yang tinggi-tinggi. Marilah kita sama-sama menjadi orang yang berkata-kata dengan ilmu dari berkata-kata dengan tanpa ilmu. Sesungguhnya ilmu itu cukup bernilai dan tidak akan membuatkan pemiliknya sesat di alam dunia dan juga akhirat. Sekian Wassalam-anamasyhur-

No comments:

Design by Abdul Munir
Visit Original Post Tas Murah Template