Monday, July 26, 2010

MIPHCKK2010

Majlis Iftar Perdana Hidayah Centre Kota Kinabalu 2010 adalah sebuah program amal Hidayah Centre d bawah Jemaah Islah Malaysia JIM. Ia sebuah Majlis Berbuka Puasa bagi mengumpul dana Hidayah Centre. Sebelum ini hanya Hidayah Centre pusat sahaja yang membuat jualan meja. Bermula dengan 35 meja pada tahun pertama dan telah mencapai 100 meja bagi tahun ke 6.
Insyaallah tahun ini Hidayah Centre akan menganjurkan MIPHC di Putrajaya, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu. Khabarnya tahun ini Hidayah Centre Pusat akan membuat jualan meja sebanyak 100 meja pada 28 Ogos 2010, manakala Pulau Pinang dan Sabah masing-masing 50 meja pada 21 dan 22 Ogos 2010.
Antara Objektif perlaksanaa MIPHC ini adalah bagi meraikan Saudara Baru di bulan Ramadhan. Kebiasaannya pada bulan Ramadhan saudara baru akan berpuasa dan berbuka puasa seorang diri kerana keluarga yang lain tidak beragama Islam. Pada tarikh di atas, insyaallah kita akan meraikan Saudara Baru ini sebagai tanda sokongan moral kita pada perjuangan mereka melaksanakan rukun Islam tersebut.
Antara tujuan lain adalah bagi memasyhurkan Hidayah Centre di bumi ia bertapak dan seterusnya menjana pendapatan bagi menampung operasi tahunan Hidayah Centre.
Insyaallah pada 22 Ogos ini, Kota Kinabalu akan menganjurkan MIPHCKK2010 bertempat di salah sebuah hotel terkemuka di Kota Kinabalu dengan kadar pekej jualan meja RM5,000/meja, RM3,000/Meja dan RM1,000/Meja dan RM100/kerusi. Kita juga menerima sumbangan bagi menambahkan pendapatan Hidayah Centre.
Bagi yang ingin mendapatkan maklumat lanjut, bolehlah hubungi saya di email anamasyhur@yahoo.com

Thursday, July 15, 2010

CULAS DIPERTENGAHAN

Baru semalam saya mendapat maklumat rupanya sebuah rumah kebajikan Islam di kk ni sudah dalam keadaan kritikal. 4 bulan sewa tertunggak, tunggu masa untuk diambil semula oleh tuan rumah. Persoalannya, kenapa perkara sebegini boleh berlaku & Salah siapakah ini?.

Memang telah menjadi lumrah aktiviti dakwah di Sabah, pendakwah tidak berapa ambil berat dalam isu-isu begini. Pendakwah lebih beratkan soal-soal furu’ melebihi yang pokok. Tapi saya teringat kisah apabila seorang ahli persatuan itu menetap di rumah kebajikan mereka beberapa lama. Melebihi 5 bulan rasanya sedangkan had limitnya selama 60hari.

Apabila ahli tadi mempunyai masalah yang tidak dapat ditanggung persatuan, terutamanya soal kebajikan dan juga kewangan. Atas dasar kemanusiaan, persatuan tersebut menghantarkan ahli tadi ke sebuah rumah kebajikan yang bukan berorentasikan Islam. Kerana di Sabah memang tidak ada rumah kebajikan berorentasikan Islam yang betul-betul kukuh pentadbiran dan kewangannya.

Masa begini ramai yang mula telefon dan mahu ambil berat. Ada yang marah-marah mempersoalkan kenapa di hantar ke rumah kebajikan sedemikian. Tidak kurang juga yang mempersoalkan soal aqidah dan sebagainya. Sehingga akhirnya seolah-oleh persatuan tersebut yang di persalahkan.

Persoalannya, sebelum kejadian itu. Berapa ramai yang datang ke rumah kebajikan persatuan tersebut untuk menanyakan khabar mereka?. Berapa ramai yang datang membawa beras dan gula?. Berapa ramai yang menghulurkan bantuan dari segi keperluan?. Adakah semua ini HANYA tanggungjawab persatuan?. Tanggungjawab ZAKAT?. Atau tanggungjawab orang tertentu?. Tidak, tidak ada dari kalangan pendakwah dan masyarakat Islam kita yang begitu prihatin dengan masalah kebajikan sesama Islam.

Tetapi ramai yang memandai-mandai marah dan mempersalahkan sekiranya berlakunya hal-hal seperti di atas?. Ramai yang marah-marah sekiranya ada masyarakat Mualaf yang Murtad?. Ramai yang mempersoalkan soal aqidah. Tapi siapa sebenarnya punca aqidah Mualaf jadi goyang?, kita la. Kita la si bongkak yang temberang, si bodah lagi sombong. Yang hanya tahu berkata-kata dengan menunding jari tetapi tidak mahu memikul tanggungjawab.

Sekarang rumah kebajikan itu tergantung tidak bertali, dana yang sepatutnya di terima di awal tahun belum diterima hingga hari ini. Bila-bila masa akan diambil semla oleh tuan rumahnya. Semalam ada seorang mualaf call saya dari Sarawak, minta carikan rumah tumpangan sementara dapat kerja. Keluar dari kampung bagi mengelak pergeseran dengan keluarga yang bukan Islam. Di mana nak tempatkan saudara kita ni?. Kita hantar ke rumah kebajikan yang tidak berorentasikan Islam, ada pula yang bising dan marah-marah.

Jadi apa jalan penyelesaiannya disini?. Persatuan hendak menampung tidak mampu, diserahkan pada persatuan lain atas dasar kemanusiaan di kritik hebat sedangkan tidak ada pula usaha untk membantu dari segi material. Baru yang bercakap bukan calang-calang orang, orang yang faham selok belok agama. Kadang-kadang saya tidak faham ajaran Islam bagaimana yang kita bawa selama ini. Ka memang ada ajaran Islam yang sebegini?.

Bersamalah kita membantu apa yang patut, tidak bantu dari segi kewangan, bantulah menggunakan kudrat tenaga. Berbincanglah dengan pendakwah kita. Berbincanglah dengan ketua-ketua persatuan. Berbincanglah dengan pengurus-pengurus rumah kebajikan. Janganlah kita hanya mengkritik memanjang tetapi tidak setitis pun peluh kita keluar untuk membantu perjuangan Islam. Fikir-fikirkanlah….

Wednesday, July 14, 2010

BAIK KALAU UMNO DAN PAS BERSATU

Alangkah Baik kalau dalam Satu Kepimpinan

Suka untuk saya respond kenyataan Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Lokman Nor Adam dipetik sebagai berkata bahawa “hasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang mengamalkan dasar Islam akan menjadi kenyataan sekiranya PAS dan Umno bersatu”. Malaysiakini.com/14 Julai 2010

Saya secara peribadi sangat bersetuju dengan kenyataan di atas. Inilah satu-satunya jalan agar Malaysia mengamalkan dasar Islam dalam pemerintahannya dan penyelesaian kepada perpecahan masyarakat Islam di Malaysia. UMNO dan PAS harus memulakan langkas untuk bersatu demi perjuangan Islam dan juga demi kebaikan rakyat. Kalau benda ini berlaku, saya pasti paling lama pun PRU pertama selepas penggabungan. Islam sudah boleh tertegak sebagai dasar Kerajaan Malaysia.

Saya tidak berniat untuk membela atau menyebelah mana-mana pihak. Dengan seikhlas hati saya sangat mengharapkan ada transformasi kedudukan politik di Malaysia. UMNO dan PAS harus mengenepikan rasa ego dan sangsi pada pihak lawan masing-masing.

Kalau UMNO boleh positif dengan apa jua bentuk masalah dalaman UMNO dengan MCA dan MIC seperti beberapa isu sebelum ini yang menggegarkan BN. Kenapa tidak boleh berpositif dan bertoleransi kepada PAS?.

Begitu juga PAS, kalau boleh positif kepada DAP dan PKR walaupun karpal singh kadang kala menyerang Islam itu secara terang-terangan seperti baru-baru ini beliau tidak akan berkompromi terhadap penubuhan kerajaan Islam. Kenapa tidak boleh berpositif dan bertoleransi kepada UMNO?.

Rasanya kita harus keluar dari kepompong cara politik yang kita pegang selama ini. Dah 50 tahun kita berpolitik, masih mengunakan kaedah yang sama. Yang berubah hanyalah rakyat, rakyat yang semangkin pandai menilai. Tetapi cara berpolitik di kalangan ahli politik masih sama seperti dulu-dulu.

Kita selalu berkata org mukmin itu bersaudara, tetapi adakah bersaudara pada penafsiran kita pada puak kita sahaja?, kumpulan kita sahaja?. Mesti kita akan menyatakan bahawa penafsiran itu adalah bersaudara pada seluruh umat Islam tidak kira latar belakang politik, sukubangsa ataupun kaum.

Atas maksud itulah saya berharap kita boleh ketepikan segala yang remeh temeh, kita fokus pada penggabungan ini. PAS dan UMNO harus terima hakikat sekiranya nama itu harus di tukar pada nama yang baru demi penyatuan ini. Kita inginkan Islam yang bersatu bukan parti yang satu tetapi masyarakat Islamnnya tidak bersatu.

Ada baiknya penggabungan ini untuk menggabungkan golongan Ulama dan juga Umara. Ia akan saling betul memperbetulkan. Bergabung dua parti ini, bererti bergabunglah masyatakat Malaysia yang selama ini terhijab dengan pahaman politik. Semua ini bukanlah mustahil, tetapi kita yang mustahilkan ia. Tiada yang mustahil jika diusahakan bersama-sama.

Kita sedia maklum, berjemaah itu sangat perlu. Kesatuan Islam lagi perlu kerana akan membuatkan jemaah itu lebih besar. Dengan kesatuan ini sudah pasti Islamlah yang mula-mula akan mendapat tahtanya di Malaysia, itu sudah pasti. Adakah kita ingin menaikkan nama Islam atau nama parti kita?.fikir-fikirkan ….

Tuesday, July 13, 2010

ALLAHYARHAM SELAMAT DIKEBUMIKAN


Oleh: AZIM FITRI

BEKAS Imam Besar Masjid Negeri Sabah, Ustaz Nahar Matamin telah kembali ke rahmatullah kira-kira jam 10 pagi kelmarin di Hospital Queen Elizabeth 2 (atau lebih dkenali sebagai SMC).

Alllahyarham yang baru pulang dari kursus kejurulatihan pilihanraya Pas di Kundasang mengadu sakit gastrik dan telah ditahan di Hospital Likas. Beliau keluar Hospital pagi ini kira-kira jam 9 pagi dan sempat berbual dan makan bersama ahli keluarga termasuklah ibunya.

Namun kira-kira jam 9.45 pagi, beliau rebah dan tidak sedarkan diri dan terus dibawa ke Hospital Queen Elizabeth 2 dan kemudian disahkan meninggal dunia akibat sakit jantung.

Pemergian Allahyarham amat terasa sekali kerana ketokohan dan keilmuan beliau di samping sangat dihormati oleh umat Islam di negeri ini. Semasa beliau menjadi Imam Masjid Negeri, beliau telah melakukan beberapa perubahan untuk menghidupkan lagi masjid negeri sebagai pusat kecemerlangan ummah.

Semasa hayatnya, Ustaz Nahar sering diundang oleh Radio TV Malaysia (RTM) bagi mengisi slot agama.

Allahyarham yang mempunyai seorang isteri dan 3 orang anak pernah memikul amanah sebagai Pengerusi Gabungan Pelajar Islam Sabah (GAPIS); Penasihat Persatuan Anak Sabah Jordan; Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Sabah; Naib Pengerusi Yayasan Amal Cawangan Negeri Sabah; AJK Persatuan Ulama Urusetia Sabah dan yang terakhir sebagai Yang Di Pertua Penaja PAS Kawasan Sepanggar.

Jawatan terakhir beliau ialah Penolong Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Unit Pengurusan Masjid.

Di antara tokoh yang hadir di kediaman beliau ialah Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sabah Datuk Ismail Awang Besar; bekas Pengerusi Majlis Ugama Islam Sabah Datuk Matusin Awang Damit; bekas Imam Besar Masjid Negeri Datuk Mokhtar Rapok; ADUN Pantai Manis Datuk Abdul Rahim Ismail; Pengerusi Persatuan Ulamak Uruseria Sabah Ustaz Muchklis Ali Kassim dan ratusan sahabat handai dan rakan taulan.

Jenazah Allahyarham Nahar akan disembahyangkan pada pagi ini di Masjid Kampong Likas dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampong Likas.

Al-Fatihah!

Last Updated on Tuesday, 13 July 2010 13:28

Artikel ini dipetik dari http://www.sabahkini.net/

Sunday, July 11, 2010

TAKZIAH BUAT KELUARGA UST NAHAR

Allahyarham Ust Hj Nahar Tinggal Dalam Kenangan


Ust Hj Nahar Hj Matamin telah kembali kerahmatullah lebih kurang jam 10.30am tadi akibat serangan jantung dirumahnya dan disahkan meninggal di Sabah Madical Centre Kota Kinabalu.
Saya sempat menziarahi jenazah allahyarham sebelum keluar seketika untuk menguruskan beberapa perkara. Insyaallah, saya akan kembali semula kerumah Allahyarham untuk bersama-sama rakan lain menemamni keluarga Allahyarham.
Anamasyhur mengucapkan setinggi-tinggi takziah kepada keluarga Allahyarham atas pemergian itu. Semoga Allah kuatkan hati dan semangat ahli keluarga Allahyarham demi meneruskan kehidupan dengan ketiadaan Allahyarham , AL-FATIHAH.

Tuesday, July 6, 2010

TERIMA KASIH PEMBACA

Saya berterima kasih dengan salah seorang daripada pembaca blog ini yang telah membuat komen kepada saya melalui email. Saya tertarik apabila pembaca ini membuat komen melalui email untuk mengelakkan salah seorang dari kami tarasa malu atau kurang selesa. Inilah antara cara yang harus dipuji bagi setiap masyarakat Islam yang lain, terima kasih pembaca.

Sunday, July 4, 2010

PERTUBUHAN BLOGGER ISLAM SABAH (PENULIS)

Hari ahad 04/07/2010 telah berlangsung satu mesyuarat penubuhan PERTUBUHAN BLOGGER ISLAM SABAH dengan nama singkatnya PENULIS. Mesyuarat penubuhan PENULIS telah dihadiri seramai 10 orang ahli yang di pengerusikan oleh En. Firdaus Said.

Objektif PENULIS ditubuhkan adalah sebagai sebuah badan penyelaras kepada kegiatan dakwah di alamaya. Sebagai sebuah badan yang menyeimbangkan pengguna ICT dengan lebih bermanfaat. Sebagai sebuah badan yang akan mengatur gerak gempur ketika Islam di badai isu. Sebagai sebuah badan yang akan mengambil kisah setiap hal berkaitan Islam. Sebagai sebuah platform untuk berkarya bagi yang menginginkannya. Sebagai Sebuah medan melatih ahli untuk berfikir, membaca, mengkaji, menulis dan berdakwah secara lapangan dan medan Menghimpunkan pemikir-pemikir Islam di Sabah.

Setiap ahli diminta mempunyai blog atau web sendiri dan menulis artikel berkaitan hal ehwal yang di anggotainya dalam PENULIS sebanyak 1 artikel seminggu. Ini bererti setiap ahli mempunyai 4 artikel sebulan. Sekiranya PENULIS mempunyai 100 orang ahli, bererti PENULIS mempunyai 400 artikel sebulan dan sebanyak 4800 artikel setahun. Dengan ini, kita ada 4800 artikel yang terancang setahun berlegar di ruang maya. Sekurang-kurangnya peratusan jumlah artikel bercirikan Islam di alamaya bertambah walaupun sekadar 0.0001%.

Mesyuarat telah memutuskan jawatankuasa kerja PENULIS seperti berikut, Presiden En. Firdaus Said merangkap Pengerusi Hal Ehwal Islam. Tim Presiden I En. Mizpal Ali merangkap Pengerusi Hal Ehwal Penyelidikan. Tim Presiden II En. Najal Punjung merangkap Pengerusi Hal Ehwal Mualaf. Setiausaha Cik Kasmayanah Aco merangkap Pengerusi Hal Ehwal Kesihatan. Tim Setiausaha Cik Khairun Nisaa’ Mohd Nor merangkap Pengerusi Hal Ehwal Sejarah Islam dan Bendahari Cik Noraini Mohd Taib merangkap Pengerusi Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Manakala selaku AJK pula En Jutom Ongkosing merangkap Pengerusi Hal Ehwal Alam Sekitar dan En Ammar merangkap Pengerusi Hal Ehwal Kemanusiaan. Masih ada beberapa Hal Ehwal (HE) lagi yang kosong dan belum mempunyai pengerusinya. Setiap pengerusi di kehendaki mencari ahli untuk meramaikan lagi ahli PENULIS.

Ahli-ahli PENULIS diminta untuk berfikir apa yang hendak di tulis, membaca dan membuat kajian isu yang di tulis, seterusnya menulis diblog. Dengan kelapangan yang ada, ahli diminta untuk menyampaikan hasil penulisan kepada pihak bertanggungjawab sebagai makluman dan bertanyakan statusa dan rancangan penyelesaian daripada pihak berwajib. Ini secara tidak langsung, PENULIS memupuk satu budaya Ilmiah dan keprihatinan kepada masyarakat dalam gerakan ini.

PENULIS dalam proses menambahkan keahlian, bagi sesiapa yang berminat bolehlah menyampaikan hasrat kepada PERTUBUHAN BLOGGER ISLAM SABAH di alamat email BloggerIslam@yahoo.com. Pemohon haruslah 18tahun dan keatas. Perlu mengisi borang dan disertakan dengan sekeping gambar berukuran pasport, 1 keping salinan kad pengenalan, yuran keahlian RM2.00 dan perlu menulis sebuah artikel Islam tidak kurang daripada 500 patah perkataan. Borang akan diemailkan kepada pemohon setelah pemohon berhasrat untuk menyertai PENULIS. Semoga gerakan ini boleh memberi sebuah ruang kepada pengguna alamaya untuk menggunakan ICT kepada yang lebih bermanfaat. Fikir-fikirkan!!!.
Design by Abdul Munir
Visit Original Post Tas Murah Template