Friday, August 20, 2010

RM300,000 UNTUK IMARAH SAUDARA BARU

Rabu, 18 Ogos 2010 15:55 TM Lim .

KUALA LUMPUR - Hidayah Centre, sebuah institusi Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) yang ditubuhkan pada 2005 sekali lagi akan menganjurkan majlis berbuka puasa bertujuan mengumpul dana pengoperasian bagi menghidupkan aktiviti saudara baru kendalian institusi tersebut di seluruh negara.

Program yang dinamakan Majlis Iftar Perdana Hidayah Centre (MIPHC) ini merupakan yang keenam seumpamanya dan kali ini akan turut diadakan di Pulau Pinang dan Sabah selain Putrajaya sebagaimana pada tahun-tahun sebelumnya. Program di Pulau Pinang akan diadakan pada 21 Ogos 2010 di Dewan Milenium, Kepala Batas manakala di Sabah pada 22 Ogos di Magellan Sutera Harbour, Kota Kinabalu. MIPHC peringkat pusat pula adalah pada 28 Ogos dan akan diadakan di Dewan Seri Siantan, Kompleks Perbadanan Putrajaya.

Perkara ini dinyatakan oleh Pengarah Program MIPHC, Nashiruddin Mohd Tahir. Teks kenyataan media beliau dibacakan oleh Naib Pengerusi Hidayah Centre, Rosmawati Zainal dalam satu Sidang Media di ibu pejabat JIM di Pusat Bandar Melawati pagi tadi.


Pada tahun lepas, MIPHC Ke-5 telah berjaya mengumpulkan kutipan kasar berjumlah RM175,000. Bagaimanapun, dengan keperluan menyantuni saudara baru yang semakin mendesak, MIPHC tahun ini menyasarkan jumlah kutipan dan sumbangan sebanyak RM300,000 dari ketiga-tiga tempat. Dana ini nanti akan digunakan untuk menampung kos pentadbiran dan sebagai bantuan kepada saudara baru yang memerlukan melalui semua cawangan Hidayah Centre di seluruh negara. Ia termasuklah inisiatif menubuhkan Hidayah Training Centre bertempat di Kota Kinabalu yang bakal melahirkan para pendakwah dalam kalangan saudara baru.

Sejak ditubuhkan, Hidayah Centre telah berperanan sebagai pusat sokongan saudara baru dengan menyediakan penempatan sementara serta memberi bimbingan dalam bentuk kelas-kelas pengajian dan khidmat nasihat kepada para mualaf tersebut. Hidayah Centre juga turut memberikan penjelasan dan berdakwah kepada golongan bukan Islam.

Untuk menyertai majlis berbuka puasa dan menyumbang kepada saudara baru, beberapa pakej telah disediakan. Pakej 1 (al-Firdaus) berharga RM5,000 semeja manakala Pekej 2 (ar-Rayyan) dan 3 (al-Adn) masing-masing berharga RM3,000 dan RM1,000 semeja. Setiap meja mengandungi 10 kerusi. Penyertaan juga boleh dilakukan secara individu dengan 'membeli' kerusi dengan harga RM100 setiap satu.

Orang ramai yang berminat boleh menghubungi Joannes Lukas atau Rosmawati sendiri di talian 03-41053159 atau 03-41089669 atau e-mel kepada hidayah.centre@gmail.com This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it untuk MIPHC Pusat, Ustaz Firdaus 010-9443779 (Sabah) dan Mohd Yusni 019-5266677 (Pulau Pinang).

Maklumat lanjut juga boleh diperoleh dengan mengunjungi blog http://hidayahcentre.wordpress.com dan laman sosial facebook 'Hidayah Centre'.

No comments:

Design by Abdul Munir
Visit Original Post Tas Murah Template