Thursday, January 21, 2010

CONCERN KESAL KENYATAAN NAZRI


MAJLIS Gabungan NGO’s Islam Sabah (CONCERN) yang mewakili seluruh NGO-NGO Islam di Sabah menyokong penuh kenyataan Ketua Pengarah JAKIM dalam Portal Malaysian Insider pada 16 Januari 2010 berhubung isu dua set undang-undang dan peraturan dalam menguatkuasakan soal larangan penggunaan kalimah Allah (satu set untuk Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang dan satu Set untuk negeri-negeri lain di Semenanjung).

Bagaimanapun CONCERN membantah keras kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz mengenai isu penggunaan kalimah Allah di Sabah dan Sarawak, yang membolehkan kalimah Allah digunakan oleh orang-orang bukan Islam, atas dasar budaya rakyat di Sabah dan Sarawak sudah biasa dengan keadaan berkenaan dan telah dilakukan sejak puluhan tahun.

CONCERN menegaskan bahawa isu dasar dan kritikal yang melibatkan Aqidah umat Islam tidak boleh dilihat dari sudut geografi, budaya dan perundangan kerana pada hakikatnya Islam adalah ajaran agama yang sempurna merentasi lingkungan dan zaman.

Jika dikaji dari segi sejarah, kedatangan Islam di Sabah adalah lebih awal daripada agama Kristian iaitu lebih kurang pada akhir tahun 1300-an. Pendapat ini disokong oleh penemuan manuskrip bertulisan Jawi dalam bahasa Idahan bertarikh 1408M yang ditemui di Kampung Sapagaya, Lahad Datu.

CONCERN amat kecewa terhadap kenyataan Nazri kerana terlalu dangkal tanpa merujuk kepada fakta-fakta yang benar dan berautoriti sebelum mengeluarkan kenyataan.

Kami berpendirian Nazri tidak berhak untuk mewakili masyarakat Islam di Sabah berhubung isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian. Bahkan beliau gagal memahami hati nurani umat Islam di Sabah. Lebih parah lagi kenyataan Nazri itu boleh mengundang kemarahan yang mungkin tidak terkawal .

Nazri sepatutnya sedar bahawa pendirian umat Islam di Sabah adalah sama dengan pendirian umat Islam di Semenanjung termasuk kenyataan beliau yang menolak penggunaan kalimah Allah oleh agama lain.

Isu kalimah Allah bukan isu politik atau undang-undang, ia adalah isu akidah yang merupakan isu asas dan kritikal bagi umat Islam yang tidak boleh dicabuli oleh mana-mana pihak.

Nazri telah menyemarakkan kembali api kemarahan umat Islam yang hampir reda selepas kenyataan oleh Datuk Seri Panglima Clarence Bongkos Malakun, Pengerusi Jaksa Pendamai Malaysia yang menyeru untuk penarikan semula penggunaan kalimah Allah di Gereja Kristian Katolik.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-82 bertarikh 5-7 Mei 2008 mengenai isu tuntutan penganut Kristian Katholik terhadap penggunaan kalimah Allah telah memutuskan bahawa lafaz Allah adalah kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain. Atas dasar itu, perlaksanaannya meliputi seluruh Malaysia termasuklah Sabah dan Sarawak.

Kami ingin mengingatkan bahawa semua pihak khususnya Kerajaan supaya bertanggungjawab memelihara kemurnian akidah serta menjunjung tinggi kesucian Islam dalam Negara ini mengikut bidang kuasa dan pengaruh masing-masing.

Dalam konteks ini, Kerajaan Malaysia mestilah mempercepatkan pewartaan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam di Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang agar tidak ada dua set undang-undang berkaitan dengan isu ini.

NOTA: Kenyataan ini dikeluarkan oleh Haji Sainuri Yahmin, Pengerusi Concern.

KENYATAAN MEDIA ISU KALIMAH ALLAH

KENYATAAN MEDIA
GABUNGAN NGO ISLAM SABAH (CONCERN)
BERSAMA
PERTUBUHAN ISLAM SELURUH SABAH (USIA)
3 JANUARI 2010 (AHAD
PEJABAT USIA KOTA KINABALU

ISU PENGGUNAAN KELIMAH ALLAH OLEH PENGANUT KRISTIAN


Berhubung Keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan perkataan "Allah" dalam penerbitan mingguan Herald-The Catholic Weekly. Gabungan NGO Islam Sabah (CONCERN) dan Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) dengan ini membuat ketetapan seperti berikut:-

1. Kami dengan tegas menzahirkan kekecewaan terhadap Keputusan Mahkamah Tinggi bersabit isu ini.
2. Kami berpendapat bahawa masyarakat Islam secara keseluruhannya mengakui nama Allah hanyalah untuk orang Islam sahaja yang selama ini menjadi sinonim dengan masyarakat Islam di Malaysia
3. Kami menyeru agar Rayuan di Mahkamah rayuan dipercepatkan bagi tindakan dan pembelaan sewajarnya demi memastikan kesucian Islam di Malaysia terpelihara dan agar isu ini tidak berpanjangan.
4. Keputusan Mahkamah Tinggi di khuatiri akan menyebabkan keadaan tidak stabil dan perpecahan di kalangan masyarakat Malaysia.
5. Kami secara tegas menyokong Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang bersidang kali ke-82 pada 5 hingga 7 Mei 2008 yang mencapai keputusan bahawa lafaz "Allah" merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam. Kandungan itu berbunyi: "Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.
6. Kami menyeru agar Keputusan Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan berhubung isu ini perlu di ikuti dan dipatuhi.
7. Kami menyeru agar pihak berwajib mangambil satu tindakan yang bijaksana supaya penggunaan nama Allah tidak digunakan dengan sesuka hati selain daripada Islam.
8. Kami dengan tegas berpendapat bahawa kalimah Allah tidak bersesuaian digunakan di tempat-tempat ibadah selain tempat ibadah agama Islam.
9. Menggunakan kalimah Allah di tempat ibadah selain Ibadah agama Islam akan membuatkan masyarakat Islam marah kerana ia dikira sebagai menyekutukan Allah dan bercanggah dengan prinsip nama Allah itu dan juga aqidah Islam.
10. Kami akan membuat seminar di seluruh Sabah bagi menerangkan kepada masyarakat Islam tentang isu ini.

Sidang Media CONCERN dan USIA ini disertai oleh :-
1. PERTUBUHAN ISLAM SELURUH SABAH (USIA)
2. WADAH PENCERDASAN UMAT (WADAH)
3. ANGKATAN BELIA ISLAM SABAH (ABIM)
4. JEMAAH ISLAH MALAYSIA (JIM)
5. PERTUBUHAN KEBAJIKAN SAUDARA KITA (SAHABAT)
6. PERSATUAN LELUHUR MELAYU BUGIS SABAH (KECAPI)
7. SISWAZAH MUDA ABIM (SISMA)

Wednesday, January 6, 2010

AIRASIA BIARLAH RASIONAL

SEPANG : Semalam saya terbang menggunakan penerbangan AirAsia AK5111 dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur. Ada beberapa perkara yang saya agak tidak berpuas hati dengan perkhidmatan Syarikat Tambang Murah ini. PERTAMA, Penerbangan saya sepatutnya pada jam 20:05 telah tertunda ke 20:45. Penerbangan tertunda sehingga 40minit tidak memberi apa2 kesan kepada pihak AirAsia. Tapi sekiranya penumpang teelewat Chek In atau terlewat masuk ke Balai Berlepas. Sudah pasti penumpang tersebut akan di halang untuk menaiki pesawat dan tiketnya akan hangus begitu sahaja. Kononnya penumpang tersebut telah membuat kesilapan kerana tidak mengikut jadual Chek In yang di tetapkan.

Soalnya, kesilapan penumpang akan membuatkan penumpang kerugian yang agak banyak terutamanya dari segi tiket hangus begitu sahaja. Manakala kesalahan AirAsia juga akan di tanggung oleh penumpang. Contohnya penerbangan tertunda, sudah pasti ada penumpang yang terlepas temujanji perniagaan atau kerugian dari sebarang keuntungan yang menanti di destinasi yang di tuju. Kenapa AirAsia tidak di hukum sama seperti penumpang2 kerana tidak mengikuti jadual yang di tetapkan.

KEDUA, masa berada di dalam pesawat. Saya rasa agak tidak selesa dengan jarak tempat duduk saya dengan tempat duduk di hadapan saya. Jarak antara tempat duduk saya dengan tempat duduk hadapan cuma sekadar sekaki lebih sahaja, tidak ada bezanya dengan duduk dalam pesawat AirAsia dengan sebuah kereta Perodua Kelisa.lebih kurang sahaja. Nak bergerak ke kanan ke kiri pun payah, takut pula mengganggu keselesaan penumpang di kiri dan kanan. Rsanya selesa lagi tempat duduk Bas Ekspress antara Bandar.

Bila tiba di Lapangan Terbang Tambang Murah, LCCT Kuala Lumpur. Pesawat parking agak jauh dari terminal. Saya yang membawa beg pakaian agak keberatan juga mengangkat beg dengan jarah yang jauh begitu. Rasanya lebih kurang 400 meter juga jarak antara pesawat dan juga terminal. Saya sempat melihat keadaan sorang ibu yang bersama seorang anak berusia lingkungan 2 tahun yang sedang mendukung bayi berumur lingkungan setahun sambil ibu tadi membawa sebuah beg pakaian yang agak besar juga.

Saya berpendapat agak susah bagi seorang ibu yang bersama anak2 dan juga beg pakaian untuk berjalan pada jarak sebegitu jauh. Ibu tersebut antara penumpang yang keluar awal dari pesawat namun antara orang yang terakhir sampai ke terminal. Tak tahulah bagaimana rintihan seorang ibu yang dalam kesusahan begitu.

Saya berharap agar pihak Pengurusan AirAsia membuat satu2 tindakan dengan rasional dan ambil kira juga dengan keselesaan pengguna. Walaupun keuntungan adalah perkara utama, namun janganlah sehingga penumpang mengeluh dengan perkhidmatan yang disediakan. Biar la AirAsia mendapat untung dan penumpang mendapat kepuasan dengan perkhidmatan yang disediakan, Tolong Fikir-fikirkan……

ANAMASYHUR JADI WAKIL RAKYAT

KOTA KINABALU: Di balai berlepas semasa saya hendak terbang dari Kota Kinabalu Ke Kuala Lumpur menaiki penerbangan tambang murah, saya telah kehilangan telefon bimbit saya, dalam kelam kabut menyeluk2 poket mencari2, saya terdengar sapaan seorang lelaki berbadan sederhana, berkulit putih, “kenapa tuan?”. Saya jawab “saya kehilangan telefon bimbit”. Kawan tadi senyap melihat keadaan saya yang sedang kerisauan.

Saya minta kawan tadi tolong tengokkan barang2 saya sementara saya pergi mencari telefon bimbit. Saya rasa telefon tu tertinggal di rumah. Agak kebingungan juga macamana keadan saya terbang tanpa telefon bimbit. Sampai di pintu bahagian pemeriksaan masuk ke balai berlepas. Saya ternampak seorang pengawal keselamatan tersenyum2 seolah ada sesuatu yang tidak kena. Saya bertanya “Telefon bimbit saya tuan?”. Bertambah lebar senyuman pengawal tu sambil bertanya, “apa jenis telefon mu?”. Saya dengan penuh gabra menjawab “CSL Blueberry-i”. Terus pengawal tu hulurkan saya telefon bimbit. Sebenarnya telefon saya tertinggal di mesin imbasan semasa pemeriksaann masuk ke balai berlepas. Lega rasa hati saya.

Setelah kembali ke tempat kawan yang tolong jaga barang tadi. Kami bercerita panjang sementara mengunggu waktu penerbangan kami yg delay. Sepatutnya berlepas pada 20:05 tetapi delay ke 20:45. Banyak perkara yang kami ceritakan dari segi kerjaya, perniagaan, isu semasa, juga sudut perniagaan. Berbagai perspektif yang kami bincangkan, termasuk jugalah isu politik semasa.

Setelah kapal berlepas, saya berasa boring sangat2. Nak tidur, tak boleh. Nak baca buku, rasa tak mampu. Duduk diam2 pula terasa kejang kaki. Badan dah rasa rimas dan tak boleh duduk diam. Akhirnya saya bangun berlalu ke toilet bagi merenggangkan otot2 badan yang tersepit di antara tempat duduk pesawat yang sengaja disempitkan untuk menambahkan kapasiti penumpang.

Selesai ke toilet, saya hendak kembali ke tempat duduk, terjumpa kembali kawan masa di balai berlepas tadi, kebetulan tempat duduk sebelahnya kosong. Kami bercerita lagi isu rakyat Palestin dan isu Amerika. Akhirnya keluar dari mulut kawan tadi “ Saya rasa tuan ada ciri-ciri untuk menjadi Wakil Rakyat. Tuan ada harapan untuk Bertanding Pilihanraya. Setiap isu yang tuan lontarkan agak berlainan dan begitu fokus tuan mengupasnya”. Saya hanya mampu tersenyum dengan kata2nya.

Bukanlah saya hendak mengangkat bakul sendiri, tapi ada point yang hendak saya sampaikan dalam penulisan ini. Lalu saya menjawab “ Saya tidak fikir saya akan jadi Wakil Rakyat, saya fikir saya tidak akan selesa dengan menjadi Wakil Rakyat. Saya tidak layak menjadi Wakil Rakyat. Lebih ramai lagi orang2 yang berbakat dan berkelayakan yang boleh menjadi Wakil Rakyat”.

“Saya adalah salah seorang penggerak kegiatan dakwah di Sabah. Saya khuatir, apabila saya mengikuti parti kerajaan, parti pembangkang akan pandang serong pada saya. Akan ada yang mula menjauhkan diri dan juga mengata2 saya, begitu juga sebaliknya. Berapa ramai dah Wakil Rakyat yang asalnya aktif dalam kegiatan dakwah, akhirnya hilang pengaruh hanya disebabkan politik. Terang dan nyata politik kita di Malaysia ini telah rosak dan kotor dek kerana kegilaan berpolitik masyarakat kita. Kita lebih banyak menceritakan keburukan pihak lawan berbanding kebolehan diri kita selaku Wakil Rakyat”.

Saya menambah lagi dengan mengupas apa yang telah di tulis oleh En. Mohd Sayuti Omar, dalam blog msomelayu.blogspot.com dengan artikel bertajuk “Jangan Risau Orang Islam Malaysia Tak Akan Bersatu”, katanya:-

Pada saya apa juga hak dan kepentingan Islam tidak akan terbela kalau ianya diharapkan kepada orang politik. Orang politik tidak sesekali akan menangani apa juga isu termasuk agama sekiranya ia tidak memberi keuntungan kepada kuasa politik mereka. Malahan mereka akan sedia bersekongkol dengan musuh Islam asalkan mereka merasakan akan memperolehi kelabaan politik sementara yang bersifat duniawi itu. Mereka juga sanggup munafik demi kuasa dan jawatan di dunia. Mereka ini boleh menggadaikan Islam ke pajak gadai Islam demi untuk mengekalkan kuasa.

Sebab itulah saya prejudis dan berpandangan soal agama, bangsa dan negara tidak boleh diserahkan kepada orang politik. Agama, bangsa dan negara hanya boleh dan akan diperjuangkan oleh mereka yang tidak terkongkong dalam idealisme mana-mana politik. Sejarah dunia tidak ada agama dan bangsa tertegak kerana politik.

Jadi harapan untuk melihat orang politik akan membela apa jua isu mengenai Islam samalah seperti mengharap tumbuhnya ekor dari Orang Utan! Sama seperti mengharapkan kepada musang menjadi ayam.

Tak perlulah la saya menjadi Wakil Rakyat. Dengan saya tidak menjadi Wakil Rakyat pun, rasanya saya boleh memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat lebih baik dari apa yang Wakil Rakyat berikan. Untuk hari akan datang, Samada saya akan menjadi Wakil Rakyat atau pun tidak, kita tunggu sahajalah ketentuan ilahi, Wassalam.
Design by Abdul Munir
Visit Original Post Tas Murah Template