Wednesday, October 19, 2011

ANTARA FIKRAH DAN UKHWAH

Fikrah dan ukhwah adalah perkataan bahasa arab yang sering digunakan dalam kehidupan seharian. Fikrah bermaksud “Pemikiran” atau dalam bahasa inggerisnya di sebut sebagai “Mindset”. Ukhwah pula bermaksud persaudaraan diantara umat Islam, yang tidak terpecah belah, seperti sekujur badan, satu sakit yang lain juga merasakan sakit.

Islam telah berkembang atas fiqrah Islam umat terdahulu dan atas ukhwah mereka dalam mengembangkan syiar Islam. Masa silih masa, hari silih hari, bulan silih bulan dan tahun silih tahun. Fikrah Islam telah berkembang seiring berkembangnya jumlah umat manusia. Setelah tahun bersilih tahun, abad bersilih abad maka fikrah Islam mangkin berkembang dan berkembang.

Kebanyakan fikrah terpecah berpunca daripada perpecahan umat terdahulu, tidak setuju dengan cara pemimpin atau rakan-rakan mereka. Maka berlaku perpecahan dengan mewujudkan fikrah yang dirasakan benar. Hingga saat ini fikrah Islam telah bercambah-cambah dengan fikrah yang sebenar dan tidak kurang juga fikrah yang tersasar dari landasan kebenaran. Fikrahnya nampak berlandaskan Islam, sekali pandang nampak benar, tp bila diteliti sungguh-sungguh rupanya ia telah keluar dari landasan dan menggunakan laluan sendiri bagi mencapai misi sebenar.

Masakini zaman teknologi IT, dunia tanpa sempadan, kebebasan bersuara telah memberi laluan besar kepada fikrah Islam berkembang sekaligus fikrah seleweng juga berkembang seiring. Pelbagai fikrah dan kaedah menuju kepada Allah telah di utarakan, tidak kurang juga sesetengah pihak menyatakan fikrah mereka sahaja yang benar. Ada dialog yang menyatakan “dia tak faham fikrah kita”. Ada yang lebih dasyat menyatakan “Fikrah mereka tak betul” dan mengkafirkan fikrah orang lain.

Persoalannya disini, adakah besar sangat perjuangan fikrah ini hingga membelakangi ukhwah Islam?. Masakini wujud perbincangan, perbalahan dan pergaduhan dalam penyebaran fikrah yang dianggap sebagai fikrah Islam. Berdebat dan berbahas siang hingga malam. Membincangkan soal-soal yang hanya sekadar cabang-cabang dalam Islam. Ramai yang membincangkan soal fikrah Islam hingga mengenepikan ukhwah Islam. Atas nama fikrah perjuangan sesetengah dari kita sanggup menghancurkan ukhwah Islam. Sedangkan ukhwah Islam itu wajib di pertahankan dan ancaman berat kepada mereka yang merosakkannya.

Ramai dari kalangan pejuang-pejuang agama yang selalu memperlekehkan fikrah orang lain. Selalu merasakan fikrah orang lain tak betul, tak cukup kemas, dan kononya telah dimasuki fikrah barat. Sedangkan itu semua hanyalah tuduhan-tuduhan liar. Sebenarnya memadailah bagi seorang Islam faham akan aqidah, syariat Islam dan beramal dengannya disamping terus belajar hari ke hari untuk memahami Islam itu secara syumul. Namun dengan kaedah menyebarluaskan fikrah sendiri hingga membelakangi ukhwah rasanya ia bukanlah satu perkara yang betul. Malah ia akan menambahkan kerosakan dan perpecahan dalam Islam…Fikir-fikirkanlah…

Saturday, October 15, 2011

AMALAN ANTARA IKHLAS DAN RIAK

Kita sering melihat masyarakat Islam sekitar kita yang mempunyai amalan agak luar biasa dari kebiasaan. Ia amalan yang tidak seperti masyarakat kebanyakan lakukan. Ia seperti ada pembawaan ilmu dari guru, seperti mengikuti sebarang tarikat, mempunyai sebarang baiah. Perkara-perkara ini yang memungkinkan amalan tersebut menjadi amalan yang luar biasa.

Biasanya amalan-amalan ini adalah amalan yang bukan fardhu tetapi nampak seolah-olah wajib pada orang-orang yang mengamalkannya. Kebiasaannya ia melibatkan amalan solat sunat dengan banyak bilangan rakaatnya dan juga zikir dengan bilangan yang banyak. Tidak kurang juga mereka yang pantang angkat tangan berdoa, akan menangis bersungguh-sungguh kesedihan.

Kebiasaannya amalan2 ini akan di lakukan tanpa mengira tempat, keadaan, suasana dan masa. Sehingga wujud kehairanan di kalangan masyarakat sekitarnya melihat amalan-amalan sedemikian rupa. Berbagai cara, feel dan gaya badan dalam pengamalan tersebut. Ada yang solat nampak seolah khusyuk sangat, ada yang sambil lewa, ada yang solat seperti patuk ayam dan berbagai-bagai lagi.

Bagi yang ahli zikir pula, berbagai-bagai gelagat yang mereka tampilkan. Ada yang zikir dengan penuh khusyuk, ada yang zikir dengan gerak perlahan, ada yang gerak badannya laju. Ada yang nada suaranya kuat, ada yang bersuara kuat di tambah dengan kelajuan TURBO hingga tidak difahami apa sebenarnya yang dilafazkan.

Namun saya bukan hendak menyalahkan perkara-perkara begini. Cuma mungkin kejadian-kejadian begini boleh kita ambil iktibar bahawa perlaksanaan begini memerlukan satu kefahaman kaedah dan pendekatan yang lebih sempurna, agar kita dapat beramal dengan kesempurnaan.

Tidak dapat dinafikan bahawa situasi yang di sebut di atas memang banyak berlaku. Tidak kira samada di bandar besar mahupun di desa-desa. Perkara sebegini berlaku hingga wujud segelintir masyarakat umum yang tidak selesa dengan keadaan ini. Ditambah pula dengan pendekatan sesetengah pengamal yang memaksa masyarakat sekitarnya untuk beramal seperti mereka hingga berlaku perbalahan dan pergaduhan sesama Islam.

Saya secara peribadi tidak menyalahkan amalan-amalan sebegini, orang berzikir, bersolat takkanlah itu boleh dikatakan salah?..mereka akan masuk Neraka?..mungkin itu tuduhan yang melampau. Namun perlu disedari bahawa bukan semua amalan di sekitar kita betul cara pelaksanaannya. Ada juga amalan yang nampak baik, tp cara pelaksanaannya tidak menepati kehendak syariat. Amalan-amalan sebegini sebenarnya telah meletakkan diri pengamalnya diantara keikhlasan dan juga riak. Sekiranya ikhlas, Alhamdulillah selamat, namun jika tercebis sedikit riak atas amalan tersebut, ia akan membinasakan pengamalnya di akhirat kelak.

Sebenarnya amalan solat dengan rakaat yang banyak, zikir hingga mencecah ribuan zikir, berdoa sambil menangis-nangis di depan-depan masyarakat sekitarnya tidaklah memberikan makna yang besar pada pengamalnya, ia bukanlah penanda aras keikhlasan seseorang. Kerana, hanya mereka yang benar-benar kuat dan ikhlas sahaja yang pasti selamat di akhirat kelak. Bagi yang tidak cukup kuat, pastinya cebisan riak akan wujud dan akan membinasakan diri pegamalnya. Amalan di khalayak ramai ini, kebiasaannya 9 dari 10 org boleh melakukannya dengan amalan yang luarbiasa, hebat, alim dan kuat beramal. Ini kerana amalan kita akan di lihat orang akan mendorong untuk kita beramal dengan amalan yang luar biasa.

Namun sekiranya pengamalnya benar-benar ikhlas atas amalan tersebut, sebaiknya amalan tersebut di lakukan di mana semua orang telah lena dengan mimpi. Tanpa seorang pun melihat mengamalnya, ia bangkit dengan bersolat sunat dari malan hingga ke subuh, berzikir sebanyak-banyaknya dan menangis semahu-mahunya kerana takut pada Allah swt. Sekiranya ini boleh berlaku, benarlah amalannya itu adalah amalan yang ikhlas, amalan yang hanya dirinya dan Allah sahaja yang tahu…Namun amalan di khalayak ramai, akan menimbulkan fitnah dan rasa sangsi di kalangan masyarakat sejauh mana keikhlasannya beramal kerana Allah swt. Fikir-fikirkan… J

Sunday, October 9, 2011

DISIPLIN ILMU

Ilmu adalah perkara yang sangat penting dlm kehidupan seseorang manusia. Ilmu akan memberikan manfaat pengetahuan, lebih-lebih lagi bagi yang beriman. Menuntut Ilmu adalah wajib bagi setiap org Islam. Rasulullah saw bersabda bahawa “ menuntut ilmu itu wajib bagi setiap muslim”.

Rasulullah s.a.w. ada bersabda lagi yang maksudnya,Sesiapa yang mahukan kejayaan di dunia, mestilah dengan ilmu (agama), jika dia mahu kejayaan di akhirat juga mestilah dengan ilmu, dan jika mahu kedua-duanya sekali mestilah dengan ilmu”.

Namun ilmu juga boleh membinasakan seseorang sekiranya ia tidak di pelajari dengan kaedah yang betul. Ramai orang-orang di sekeliling kita yang telah tersasar dari laluan sebenar kerana tidak mengikuti disiplin ilmu yang sebenar. Kebiasaannya ia akan berlaku kerana menunutut ilmu dengan tidak berguru, hanya sekadar membaca buku, blog, fb, majalah dan lain-lain sumber. Keadaan sebegini akan mengakibatkan seseorang muslim tersasar dari laluan sebenar hingga berlakunya kesesatan, menyesatkan dan menimbulkan fitnah.

Pada zaman moden ini, disiplin ilmu tidak lagi di jaga. Para guru tidak lagi di hormati, para ulama’ di perlekehkan, di caci dan di maki. Menuntut ilmu tidak lagi mengikut peringkat-peringat sepatutnya. Kerana itu, masyarakat Islam terus ketinggalan dalam memahami Islam pada sudut pandang yang betul.

Saya teringat kata-kata Ust Zamihan mat Zin Al-Ghari bahawa ilmu itu wajib di tuntut dengan mematuhi segala disiplin ilmu agar ia terpandu ke jalan yang benar. Seseorang muslim perlu bermula dengan memahami hal-hal berkaitan aqidah agar kita benar-benar kenal akan Allah swt, seterusnya perlu memahami hal-hal berkaitan syariah agar kita benar-benar mengamalkan segala ajaran Islam seperti yang dikehendaki Allah dan RasulNya.

Seterusnya, apabila kita telah memahami tentang aqidah dan syariat, maka sebaiknya kita memahami tentang ilmu tasawwuf agar kita terpandu untuk mengamalkan Islam dengan hati suci bersih dan menjauhkan diri dari segala penyakit-penyakit hati. Seterusnya tariqat adalah satu lagi bidang ilmu yang perlu di fahami setelah 3 ilmu di atas betul-betul di fahami.

Namun hakikat masyarakat masakini, ramai yang tidak berminat untuk memahami ilmu aqidah dan syariat dengan kefahaman yang sebenar. Masyarakat Islam masakini lebih minat untuk terus mempelajari ilmu tasawwuf dan juga tariqat dengan tidak begitu memahami ilmu aqidah dan syariat. Rasa seronok dan merasakan diri benar-benar Islam dengan pakaian jubah, berserban dan tasbih di tangan membuatkan ramai yang terlupa akan tuntutan aqidah dan syariah.

Apabila Tasawwuf dan Tariqat di pelajari tanpa mempunyai kefahaman yang betul tentang aqidah dan syariat. Maka di sinilah bermulanya bibit-bibit penyakit hati sesama Islam apabila tariqat kita dan fahaman kita tidak di terima pakai oleh orang-orang sekeliling. Maka, berlakulah berdebatan, bertengkaran, perbalahan dalam menegakkan fahaman sendiri. Tidak kurang juga wujud orang yang lebih ilmu tariqatnya, pakaiannya Nampak hebat, zikirnya nampak banyak namun bila berbicara soal aqidah dan syariah, terzahir kebodohannya dalam mengamalkan Islam.

Mungkin kita pernah dengar kata-kata bahawa beramal tanpa ilmu itu di namakan gila, berilmu tanpa beramal pula di gelar sebagai fasiq manakala bertariqat tanpa syariat pula di gelar sebagai zindiq (berpura-pura Islam). Atas maksud itu, rasanya ada baiknya kita bermuhasabah diri agar kita tidak tergolong dari golongan yang tiga ini.. Semoga kita menjadi seorang muslim yang mengamalkan Islam kerana Allah swt dengan mengikuti cara Rasulullah saw.

Rasulullah saw pada penghujung hayatnya pernah memanggil menantu merangkap sepupu baginda iaitu Sayidina Ali bin Abi Talib. Baginda mewasiatkan kepaanya “Wahai Ali, jika berlalu di kalangan orang Islam 40 hari (sahaja), mereka tidak hadir dan duduk dalam majlis ilmu (fardhu ‘Ain), maka orang itu akan menghadapi dua keburukan. Pertama, hatinya menjadi keras (sukar menerima petunjuk Allah atau segala kebaikan) dan kedua berani pula melakukan dosa-dosa besar”, Fikir-fikirkan….:)

Friday, August 5, 2011

RAMADHAN BULAN PENTINGKAN DIRI?.

Bulan Ramadhan baru masuk hari kelima, masih ada 25hari lagi baki untuk kita meneruskan perjuangan di bulan yang penuh berkat ini. Bulan yang mempunyai pelbagai kelebihan dan ganjaran yang telah dijanjikan oleh Allah swt buat kita hamba ciptaan yang paling sempurna.


Daripada bangun bertahajud, bersahur, berpuasa , menempuh siang hari dengan penuh ketaqwaan kepada Allah swt, bersolat, berzikir, berbuka puasa dan berterawih menunjukkan tanda patuhnya kita pada Allah swt dan junjungan besar Muhammad saw.

Namun dalam menjalankan ibadah di bulan Ramadhan ini, tanpa kita sedari ramai di kalangan kita yang sebenarnya hanya mementingkan diri semata-mata tanpa memperdulikan orang sekeliling. Adakah bulan Ramadhan bulan pentingkan diri?..

Di bulan yang penuh berkat ini, ramai dari kalangan kita akan merebut peluang untuk mencari wang lebih samada di bazaar ramadhan, mengambil tempahan kuih raya dan juga menjahit baju raya. Selalu kita mendengar rungutan masyarakat bahawa penjual2 bazaar ramadhan mementingkan diri dengan mengaut keuntungan berganda manakala kualiti hidangan tidak seberapa. Daripada abc, martabak, mee goring, nasi ayam, nasi lemak dan pelbagai hidangan lagi menarik selera orang yang berpuasa, namun setelah di beli masyarakat merasakan barang yang mereka terima dengan wang yang mereka berikan, ianya tidak setimpal…bukankah ini mementingkan diri sendiri?..

Begitu juga dengan solat terawih. Ramai dari kaum bapa yang memandu dan meletakkan kenderaan sesukahati, d kaki lima, bahu jalan, bibir jalan, tepi longkang dan tak kurang juga yang meletakkan kenderaan di tengah jalan raya. Jalan yang sepatutnya 2 lorong bertukar menjadi 1 lorong dan menyusahkan masyarakat lain hendak bergerak kerana jalan tertutup atau pun trafik jem. Ini akan memberikan tanggapan negetif kepada masyarakat bukan Islam.

Setelah meletakkan kenderaan merata, ada pula di kalangan masyarakat kita yang datang ke masjid hanya untuk solat semata-mata. Mereka ni tidak tahu kiri dan kanan, samada anak-anak dan remaja-remaja ikut turut sama bersolat, tidak siapa yang mengambil tahu…Samada rakan-rakan masjid sibuk mententeramkan remaja-remaja masjid yang agak keras, tidak mendengar nasihat, malah mengajak jemaah masji bergaduh. Mereka tidak akan ambil kisah semua nie. Yang penting, hanya diri sendiri, adakah ini di kira sebagai pentingkan diri sendiri?. Fikir-fikirkan…

Friday, July 1, 2011

MALAYSIA PERLU RAMAI ULAMA’

Kita telah berada di zaman millennium, zaman moden, zaman teknologi dan juga di akhir zaman. Satu zaman yang jauh meninggalkan zaman Rasulullah s aw. Zaman yang cukup berbeza berbanding zaman Rasulullah saw. Zaman di mana Islam telah kembali dagang (asing) seperti sabda Rasulullah saw.

“Islam telah bermula dengan dagang dan ia akan kembali dagang, maka berbahagialah mereka bersama Islam di waktu ia dagang.”

- Hadith Riwayat Muslim

Kehidupan masyarakat masakini tidak lagi menepati kehendak yang telah di gariskan oleh Islam. Kehidupan yang penuh dengan keseronokkan, kehidupan yang penuh dengan hiburan, penuh kerosakan, penuh dengan kemewahan hidup, pergaulan bebas, dadah, gejala sosial, pembuangan bayi dan berbagai-bagai lagi yang tidak menepati kehendak syariat.

Untuk kembali ke zaman Rasulullah saw adalah perkara mustahil kerana masa yang telah lepas, ia tidak akan kembali lagi. Bagi mewujudkan semula cara hidup zaman Rasulullah juga satu perkara yang jauh dari jangkauan kita. Namun untuk mewujudkan masyarakat yang baik, masyarakat yang cemerlang berpandukan Al-Quran dan Sunnah mungkin boleh di usahakan.

Di khabarkan maklumat terkini penduduk Islam di Malaysia telah mencecah 16.7 Juta orang atau 61 peratus dari jumlah 27.5 juta jumlah keseluruhan rakyat Malaysia. Ini belum termasuk jumlah pekerja asing, pendatang tanpa izin dan 3% peningkatan jumlah penduduk Islam setahun melalui kelahiran dan juga pertukaran agama.

Pada situasi begini seorang menteri agama sudah pasti tidak akan dapat mencorak kehidupan beragama 16.7 Juta penduduk Islam Malaysia. Saya tidak fikir 10 orang ulama boleh membentuk suasana agama di Malaysia, hatta 100 orang pun masih tidak memadai.

Bagi membentuk keperibadian 16.6 Juta masyarakat Islam Malaysia, dari segi pengenalan, dakwah, pendidikan, nasihat hingga kepada penguatkuasaan. Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya seramai 500,000 ulama’ yang sentiasa berada dengan kepimpinan kerajaan umpama belangkas bagi memantau, menegur, menasihat, memberi cadangan dan memperbetulkan segala salah silap kepimpinan. Ini bertepatan dengan Hadith Rasulullah saw :

Sesiapa yang ingin menasihati orang yang berkuasa, janganlah melakukannya secara terang-terangan. Sebaliknya dia hendaklah memegang tangannya (penguasa itu) dan bersendirian dengannya (menasihati tanpa mendedahkan aibnya secara terbuka). Jika diterima, maka dia berjaya. Jika tidak, dia (penasihat itu) dianggap telah menunaikan kewajibannya.” (Riwayat Ibn Abi ‘Asim dalam al-Sunnah.
Sanadnya sahih, Hal ini dinyatakan oleh al-Albani ketika mentahqiq kitab al-sunnah, m.s.: 507)

Disamping tanggungjawab tersebut ulama’ perlu turun kepada masyarakat, menyampaikan syiar Islam, menasihati, mendidik dan memperbetulkan segala kekurangan masyarakat Islam di Malaysia termasuklah menguatkuasakan segala bentuk perundangan Islam.

Ulama’ dengan kepimpinan kerajaan dan juga rakyat harus berhubung seperti dalam perlawanan bola sepak. Setiap orang akan sentiasa mengawasi pihak lawan setiap masa dan keadaan, jangan sampai pihak lawan mendapat bola. Sekiranya ada yang penat, dia akan digantikan dengan pemain simpanan. Begitu juga ulama, mereka seharusnya ramai dan memantau daripada kepimpinan kerajaan hinggalah kepada rakyat untuk memperbetulkan segala kesilapan dan kesalahan yang tidak menepati kehendak syariat. Sekiranya ada ulama’ yang letih, penat dah tak sanggungp menjalankan tanggungjawabnya, Ulama’ simpanan perlu mengambil tanggujawab tadi.

Bila dibanding suasana Malaysia sekarang, jumlah ulama sebenarnya tidak mencukupi, apatah lagi hendak duduk dalam saf kepimpinan kerajaan. Kalau pun ada ramai cerdik pandai Islam berada d luar kepimpinan mengakibatkan tidak ada yang memegang dan memimpin tangan pemimpin ke jalan sepatutnya. Sekiranya Ulama’ dengan jumlah yang ramai boleh duduk dalam saf kepimpinan kerajaan tanpa menafikan hak non muslim, sudah pasti rakyat Malaysia akan hidup sebagai rakyat yang menepati kehendak Syariat.

Sejujurnya saya sangat berharap, para ulama’ memainkan peranan penting dalam keseluruhan aspek perjalanan negara agar seluruh rakyat Malaysia hidup aman damai lagi sejahtera. Dalam situasi masakini, saya tidak fikir ulama’ akan terlepas daripada dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Kerana, Ulama mempunayi peranan yang besar dalam membentuk sahsiah masyarakat daripada kepimpinan hinggalah rakyat akar umbi. Fikir-fikirkanlah….

Saturday, June 11, 2011

SYURGA YANG MASIH JAUH

Sesungguhnya matlamat hidup kita adalah mengabdikan diri pada Allah swt di samping menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah. Kerja yang dianggap mulia yang pernah dibuat oleh junjungan besar Muhammad saw. Hidup tanpa dakwah ibarat makan tanpa lauk, tidur dalam keadaan berdiri dan berlagu tanpa irama. Sesungguhnya dakwah mempunyai kemanisan tersendiri, keseronokkan yang berlainan dan keriangan jiwa.

Di Kota Kinabalu bandarnya indah, luas dan cantik. JHEAINS dan JAKIM berpusat di sana. Semua NGO bertumpu di sana. Banyak aktiviti dakwah, bimbingan kelas pengajian yang boleh di sertai samada ingin menyumbang tenaga ataupun mahu bimbingan agama.

Namun daerah Sandakan lain ceritanya, bandar kecil yang baru hendak membangun. Jauh beratus kilometer dari Kota Kinabalu. Mempunyai pejabat JHEAINS daerah tetapi tidak mempunyai pejabat JAKIM Daerah. Tidak mempunyai sebarang aktiviti dakwah, program mahupun kelas bimbingan. Masyarakatnya tidak mempunyai tempat untuk mendapatkan bimbingan dan sumber ilmu.

Masjid membuat kuliah untuk ahli masjid yang memang ahli masjid dan yang telah terbuka hatinya untuk mendekati masjid. Pas dengan programnya di pasti yang memang ahlinya adalah yang faham erti perjuangan. Bagaimana pula nasib masyarakat yang bukan ahli masjid dan bukan ahli pas. Bagaimana hendak menarik mereka dekat kepada Islam.

Dalam gelombang globalisasi masakini, pengaruh tv, astro, internet, majalah dan lain-lain membuatkan ramai orang Islam yang semangkin jauh daripada Islam tanpa mereka sedari. Dalam suasana begini, tidak adanya program-program yang mendekati masyarakat, tidak ada kelas2 bimbingan, tidak ada teratak fitrah, tidak ada NGO yang bergerak, manakala JHEAINS lebih tertumpu pada NCR dan menguruskan hal ehwal imam2 dan masjid. Apakah yang akan terjadi pada masyarakat Sandakan?.

Sesungguhnya syurga masih jauh, masih jauh untuk diri saya dan masih jauh untuk diri masyarakat Sandakan. Sekiranya begini keadaannya, 99% masyarakat Islam Sandakan masing2 akan menuntut sesama sendiri di akhirat kelak, “kenapa kau tidak bawa aku dekat pada Islam masa di dunia dulu?” soalan yang sama akan di tanya pada yang menanya. Dan soalan ini juga akan d tanya pada saya juga anda.

Bagaimana pula daerah2 dan kawasan2 selain Kota Kinabalu dan Sandakan?. Adakah syurga telah hampir dengan tempat anda?. Tidak ada siapa yang mengetahui, Namun usaha perlu d teruskan sebagai seorang khalifah .

Apakah peranan kita sebagai umat Islam yang telah dipertanggungjawabkan menjadi khalifah di muka bumi?. Yang diperintahtahkan Ta’muruna Bil Ma’ruf, Watanhau Na A’nil Munkar?. Ayuh la kita bangun bersama menjalankan tanggungjawab kita mengikut level kita masing2. Semoga dengan usaha kita yang sedikit dan ikhlas, akan dipandang Allah dan akan membuatkan syurga dekat dengan kita serta akhirnya kita di letakan di dalam syurga bersama bidadari yang telah Allah swt janjikan…amin.

ASB DAN ASN HARAM

Lama dah saya hendak menceburi diri dalam bidang ASB&ASN ni. Tetapi sebenarnya saya masih ragu2 dengan status hukum ASB&ASN ni. Ada yang kata ianya halal tetapi tidak pernah saya melihat dalil yang mnyatakan halal dan bagaimana ia dioperasikan. Ada yang mengatakan ia boleh mendapat untung, sambil menabung sambil mendapat untung. Tapi hati saya tidak terbuka untuk menceburi bidang ini. Hingga hari ini segalanya jelas menurut Penyataan Jabatan Mufti Kerajaan Selangor bahawa ASB&ASN adalah Haram dan tidak halal.


Kenapa ianya tidak halal? Mengikut surat yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor, ASB&ASN tidak halal kerana ia secara jelas terlibat dalam aktiviti pelaburan yang bercampur-campur antara patuh syariah dan tidak patuh syariah yang sebahagian besarnya adalah daripada sektor kewangan konvensional.

Berikut adalah salinan surat yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor sebagai rujukan. Surat ini saya petik dari lawan web www. syok.my/asb-asn-haram-jabatan-mufti-selangor/





Wednesday, May 11, 2011

MASJID NURUSSYAKIRIN, SANDAKAN

Jawatankuasa Masjid Nurussyakirin, Indah Jaya, Sandakan

Mungkin ada dari kalangan rakan-rakan pembaca yang bertanyakan kemana perginya menghilang penulis blog anamasyhur. Agak lama menyepi tanpa sebarang posting. Mungkin ada yang menyangka yang saya telah berhenti dari dunia penulisan.

Sebenarnya tidak, jauh di sudut hati saya wujud kerisauan dan kegundahan bila tidak dapat meluangkan masa bagi mencoretkan sedikit ilham untuk tatapan umum. Saya tidak pasti di mana silapnya, tetapi setelah sekian lama, saya agak sukar untuk mendapatan mood bagi menghasilkan satu karya penulisan yang mempunyai nilai dari segi Dakwah Islamiahnya.

Alhamdulillah, atas izin Allah swt secara tiba-tiba wujud keinginan dan kekuatan untuk menulis sedikit coretan. Sekurang-kurangnya agak ringan sedikit bahu dengan tanggungan kegundahan selama ini. Untuk “warming up” semula, suka untuk saya mnceritakan kegiatan saya yang terkini di kampung halaman sendiri, walaupun perasaan merasakan seperti berada di perantauan.

Atas dasar dakwah, tanggungjawab yang telah di amanahkan oleh Allah swt kepada setiap Insan. Maka saya telah mendapat ruang kuliah di Masjid Nurussyakirin, Indah Jaya, Sandakan. Setiap malam sabtu selepas solat maghrib atas tajuk dakwah. Sebuah Masjid yang agak aktif di daerah Sandakan. Sebuah masjid yang dipimpin oleh gabungan tenaga muda dan orang lama dari pelbagai latar belakang.

Pertama kali menjejakkan kaki ke masjid ini, ia memberikan suatu pandangan yang agak luar biasa dari bentuk keceriaannya dan suasana jemaahnya yang rasanya agak sukar untuk di temui di daerah Sandakan. Kalau ada pun boleh dikira dengan jari sebelah tangan.

Atas keterbukaan jawatankuasa masjid, maka dapatlah saya sedikit ruang menempek di hujunG pintu sekadar menjalankan amanah yang telah diamanahkan oleh Allah swt dan kehadiran jemaah masjid juga dalam jumlah yang memuaskan. Alhamdulillah, Masjid Nurussyakirin telah membuat beberapa program yang agak besar dan akan ada program besar lagi dalam masa terdekat ini.

Saya berdoa kepada Allah swt agar saya sendiri, para ustaz-uztaznya, jawatankuasa masjid, jemaahnya terus diberi kekuatan oleh Allah swt untuk terus menjadi hamba pilihan yang akan mengimarahkan rumah Allah dengan pelbagai program yang lebih mesra jemaah. Semoga ini akan menjadi sumber hidayah kepada masyarakat sekelilingnya, amin….

p/s : kiranya ada kelapangan, rakan-rakan pembaca datanglah ziarah-ziarah kami di sini….

Thursday, March 31, 2011

APA ERTI BANYAKNYA NGO ISLAM

Baru-baru ni, sebuah lagi NGO Islam telah di lancarkan di Kota Kinabalu. Pertubuhan IKRAM Malaysia, Sebuah pertubuhan hasil penyatuan beberapa NGO di peringkat pusat antaranya Jamaah Islah Malaysia (JIM). IKRAM juga adalah antara pertubuhan NGO yang wujud di Negeri Sabah setelah banyak NGO telah bertapak dan bergiat dalam aktiviti dakwah.

Kewujudan NGO Islam di Sabah boleh juga dikatakan seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan. Banyak tidak terkira, daripada NGO yang dikenali ramai hinggalah NGO yang tidak pernah orang ramai dengar namanya. Namun sejauh manakah hasil gerakan dakwah di Negeri Sabah?.

Banyaknya NGO Islam di Negeri Sabah tidak kurang ibaratnya seperti buih di lautan. Banyak sekali wujudnya, tetapi tidak memberi makna kepada perkembangan dakwah. Islam terus di tindas dan terus dicabar oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Sekarang Islam di badai isu Al-Kitab dan azan dipermain-mainkan kononnya seperti menjual kwee Teaw dan kuih pau ?. Berapa banyak NGO yang tampil membuat kenyataan samada membantah, menegur, membetulkan dan sebagainya?. Semuanya senyap membisu seribu bahasa seperti ayam berak kapur. Banyak pemimpin NGO bergelar Prof, Dr, Ust, Imam, Tuan Haji dan lain-lain gelaran. Semuanya senyap seribu bahasa, mungkin takut memberi kesan pada jawatan yang disandang.

Apalah impak yang dapat kita berikan dengan pertambahan jumlah NGO Islam di Sabah. Dikatakan USIA sudah berumur, sudah tua, tidak aktif, tidak bertaring seperti dahulu. Tetapi sekurang-kurangnya ia pernah mencipta sejarah satu ketika dahulu yang tidak dapat kita nafikan. Namun NGO Islam kita yang ada sekarang, hujung jarum pun tidak memberikan kegentaran kepada musuh-musuh Islam. Mungkin hanya memberi kegentaran kepada orang Islam sendiri iaitu Kerajaan UMNO kerana banyak yang Pembangkang, tetapi tidak pada musuh-musuh Islam.

Ini semua kembali kepada ketidak satuan jamaah kita dalam menjalankan gerakan dakwah di Negeri Sabah. Masing-masing dengan fikrah sendiri, idealogi perkauman dan pendekatan tarbiah sendiri, menyebabkan kita terlepas pandang kepada perjuangan yang lebih besar.

Sebenarnya, tanpa kita sedar. Kebanyakan dari individu atau NGO sebenarnya SYOK SENDIRI. Merasakan tindakan betul LAGI benar hingga terlupa misi besar.

Asyik berdakwah dari masjid ke masjid, dewan kuliah ke dewan yang lain, dari usrah ke usrah, dari pantai ke pantai yang lain sehingga terlupa TERLALU banyak orang di luar menantikan kehadiran kita membawa risalah Islam. Sekiranya inilah hakikat yang berlaku?.apakah maknanya kewujudan NGO Islam seperti cendawan tumbuh selepas hujan?. Adakah sekadar menghabiskan ratusan ribu peruntukan infaq masyarakat pada Jamaah?...sampai bilakah perkara ini di takuk yang lama?...adakah kita tidak akan mencipta sebuah sejarah seperti USIA di tahun 1969 hingga 1975?...fikir-fikirkanlah…

Monday, March 14, 2011

DISIPLIN ORANG JEPUN

Berdisiplinnya masyarakat jepun. Lihat Sini, Blog Serius

AL KITAB DALAM BAHASA KEBANGSAAN

Sejak seminggu ni saya terpanggil untuk mengulas kenyataan Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) yang mendakwa Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan tidak ada pengharaman kitab injil Dalam Bahasa Melayu.

Kemudian kenyataan Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) disambung pula oleh Pengasas Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Datuk Zaid Ibrahim dengan kenyataan Injil Bahasa Melayu isu bahasa bukan agama, merujuk kepada tajuk entry di blog Malaysiakini.

Sesudah itu, beberapa hari lepas Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek pula membuat kenyataan menggesa kerajaan supaya segera membuat keputusan berhubung penahanan naskah Kitab Injil di dua pelabuhan di negara ini serta menggesa kerajaan memberi kebenaran untuk mencetak Kitab Injil dalam bahasa kebangsaan.

ketiga-tiga kenyataan di atas pada saya sebenarnya adalah kenyataan yang serius bagi penganut Islam. Cuma saya tidak berhajat untuk mengulas panjang kerana tidak mahu menjadikan isu ini bertambah hangat. saya khuatir kenyataan saya akan memberikan bola tanggung pada sesetengah pihak untuk membuat serangan balas. Maklumlah, kenyataan balas boleh saja di ulas dari pelbagai sudut

Apa yang hendak saya katakan di sini. Saya menyerahkan segalanya kepada Kementerian Dalam Negeri dan Mahkamah bagi mengatasi masalah ini. Namun saya sebagai seorang Islam yang memperjuangkan Islam menegaskan bahawa saya TIDAK BERSETUJU dengan ketiga-tiga kenyataan di atas.

Kepada Datuk Zaid Ibrahim ingin saya memberi pendapat bahawa bahasa dan agama adalah ibarat lagu dan irama, keduanya tidak dapat di pisahkan. Niat, akad, sumpah dan beberapa perkara lain dalam Islam sangat berkait rapat dengan bahasa. Ini bererti, terdapat masalah pada bahasa, ia juga adalah masalah agama.

Walaupun Datuk bukan orang PAS, tetapi sebagai seorang Islam, Datuk juga mempunyai tanggungawab untuk membela Islam di muka bumi. Tanggungjawab ini akan ditanya oleh Allah di akhirat kelak. Diharap Datuk akan memperjuangkan Islam pada bidang Datuk dan Saya pula akan memperjuangkan Islam pada bidang saya...InsyaAllah.


Thursday, March 10, 2011

PERKAUMAN DAN KEKITAAN NGO ISLAM

Dakwah dan tabligh adalah kewajipan bagi setiap insan. Tidak kira rupa bangsa, warna kulit dan juga latar belakang, semuanya harus melaksanakannya. Bagi anda yang berada di sekitar Kota Kinabalu dan bandar-bandar besar, anda beruntung kerana tempat anda mempunyai kegiatan dakwah yang cukup pesat. Banyak pertubuhan, badan dan juga gerakan yang boleh disertai sebagai wadah perjuangan.

Dalam gerakan dakwah, antara perkataan yang selalu disebut-sebut adalah berkaitan berpegang kepada tali Allah, kesatuan Islam, kesatuan ummah atau kesatuan dalam berjamaah. Ini adalah senjata utama dalam menggerakkan jentera dakwah secara berkesan.

Banyak sejarah yang telah membuktikan kejayaan usaha dakwah berpunca daripada kesatuan jamaah. Kesatuan jamaah membolehkan segala kerja dilaksanakan dengan terancang dan perlaksanaannya pula agak rapi berkesan.

Namun hakikat sebenar usaha dakwah di Negeri Sabah tidak seperti pernyataan di atas. Mungkin ada dari kalangan rakan-rakan tidak senang dengan kenyataan ini. Tetapi saya tidak berkata kosong,ini adalah berdasarkan analisis peribadi dan diskusi dengan beberapa rakan-rakan penggerak di Kota Kinabalu.

Tujuan kita menjalankan usaha dakwah adalah untuk mencari keredhaan Allah swt dan bergerak atas nama Islam. Namun semua ini hanyalah mainan bicara di kalangan kita semata-mata. Tanpa kita sedar sebenarnya gerakan dakwah kita tidaklah berlandaskan perjuangan Islam sebenarnya, tetapi perjuangan kita adalah atas landasan NGO.

Tanpa disedari perjuangan berlandaskan NGO adalah lebih penting dari perjuangan berlandaskan Islam. Antara bukti kesahihan pernyataan di atas terkandung dalam artikel saya sebelum ini bertajuk “PENGGERAK KITA KURANG BERFIKIR”. Bagaimana dikatakan berlandaskan Islam jikalau perjuangan tersebut disyaratkan harus datang dari pemimpin NGO kita.

Hakikat yang berlaku masakini, kita akan turun kelapangan sehabis baik sekiranya arahan tersebut datangnya dari ketua NGO kita. Sekiranya ia datang dari pemimpin NGO lain, maka kesungguhan dalam berdakwah tidak akan sama seperti arahan yg dikeluarkan oleh pemimpin sendiri walaupun isu yang diperjuangkan adalah isu ISLAM.

Inilah yang terjadi kepada PENULIS dan yang lebih besar lagi CONCERN. NGO yang menganggotai CONCERN adalah NGO yang cukup hebat dan ternama. Tetapi kenapakah CONCERN tidak boleh bangkit setaraf dengan USIA mahupun YADIM?. Ini kerana CONCERN adalah satu badan yang berasingan tubuh dengan NGO-NGO yang menganggotainya. CONCERN bukan sayap pergerakan kepada NGO yang meneyertainya. Kerana itulah pergerakan CONCERN agak perlahan seperti ular berbisa yang menyelinap disebalik gerakan dakwah.

CONCERN tidak mampu menjadi seperti harimau dan singa yang mendongak ke langit dengan kegagahannya. CONCERN tidak mampu mengaum kuat bagi menggerunkan lawannya. Kerana apa?. Kerana CONCERN bukan sebahagian dari kita. CONCERN adalah badan yang ditubuhkan atas dasar kemarahan hangat-hangat tahi ayam dikala darah menyirap bila Islam di badai isu.

Hakikatnya, sekiranya CONCERN adalah sayap pergerakan NGO kita, sudah pasti Abu Bakar tidak perlu sibuk menghadiri mesyuarat di tengah malam dalam keadaan hidung tersumbat kerana demam. Si songkok tinggi tidak perlu bersusah memandu dari Sandakan ke Kota kinabalu untukn menghadiri mesyuarat. Kita sendiri akan menggerakkannya walaupun tanpa kehadiran Hj Sainuri. Jangankan 15 org ahli mesyuarat, seramai hadirin yang menghadiri kuliah Tafsir Maudhu’i pun kita boleh himpunkan, seramai hadirin yang menyertai Discuss Of The Truth pun kita boleh kerahkan, bukankah ini dipanggil Double Standard?.

Suka untuk saya nyatakan, janganlah kita berlagak sombong dengan program yang berlambak-lambak anjuran NGO kita dalam masa yang sama kita tidak boleh duduk sebumbung berkerjasama atas nama Islam untuk sekadar bermesyuarat. Janganlah kita berlagak sombong dengan program kita yang mega sekiranya kita tidak mampu mencukupi korum mesyuarat CONCERN yang sekadar memerlukan 15 orang.

Adakah kita cukup hebat berseminar sana dan sini. Mengulang-ulang seminar yang acap kali dianjurkan dalam masa yang sama segala perancangan CONCERN untuk sedikit permuafakatan Islam tidak boleh terlaksana?. Adakah kita cukup hebat berprogram sana dan sini yang sekadar menghabiskan peruntukan yang ada dalam masa yang sama kita tidak mampu duduk sekadar sejam untuk menulis maklumat penting dalam mesyuarat CONCERN?.

Panggilan pengerusi CONCERN adalah semboyan Islam, semboyan Islam adalah panggilan Allah. Adakah perkara yang lebih penting berbanding semboyan Islam?. CONCERN diibaratkan seperti Cerrier War Ship atau Kapal Perang Pengangkut. Manakala NGO-NGO yang manganggotainya diibaratkan seperti jet-jet pejuang yang bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Kebiasaannya Carrier War Ship adalah medan untuk bermesyuarat, mengaturkan srategi perang, dan membuat segala persiapan perang. Namun yang membuat serangan adalah jet-jet pejuang bagi menghancurkan sesuatu sasaran. Kalaulah jet-jet pejuang tidak bersama-sama dengan kapal pengangkut, dikhuatiri kapal pengangkut akan dibedil musuh hingga musnah ditelan sejarah.

Adakah kenyataan saya salah?. Sekiranya salah, kita harus buktikan kenyataan ini salah. Kita harus bergabung atas nama Islam dan tidak semata-mata atas nama NGO. Sekiranya benar, kita harus perbaiki kesilapan kita, agar gerak kerja dapat dirancang dengan rapi dan memberi kesan yang baik dalam gerakan dakwah di Negeri Sabah. FIKIR-FIKIRKAN…

- CONCERN adalah Majlis Gabungan NGO Sabah yg berpusat di Kota Kinabalu, Sabah.

Rujuk artikal lepas : Klik Sini CONCERN IS A CARRIER WAR SHIP

Wednesday, March 9, 2011

PENGGERAK KITA KURANG BERFIKIR

Baru sebentar tadi saya delete semua isi kandungan blog Pertubuhan Blogger Islam Sabah (PENULIS) di sabahclick.blogspot.com. Saya rasa tidak selesa bila blog PENULIS wujud tetapi tidak pernah ada artikel baru

Seperti yang pernah saya maklumkn, PENULIS adalah pertubuhan yg dalam proses untuk di daftarkan sebagai ruang dakwah di alamaya. Semua ahli di minta untuk melatih diri mewujudkan blog sendiri berfikir mencari isu, membaca serta membuat sedikit kajian dan menulis sekurang-kurangya 1 artikel seminggu. Bererti sebulan ada 4 artikel. Sekiranya penulis ada 50 orang ahli, bererti kita ada 200 artikel sebulan dan 2400 artikel setahun berlegar di ruang maya.

Pada mulanya PENULIS agak aktif mesyuarat dan juga perancangan strategik. Kerana kebanyakan dikalangan penggerak PENULIS adalah penggerak dan pejuang NGO yang aktif di Kota Kinabali. Namun ianya sekadar rancang dan rancang. Ia tidak dapat digerakkan untuk melangkah daripada mesyuarat dan merancang kepada duduk menulis.

Saya tidak pasti apa silapnya, tetapi pada pengamatan saya. Ia mempunyai 2 sebab utama kenapa PENULIS tidak dapat bergerak. Saya dapati sebab yang PERTAMA adalah soal sikap. Sikap penggerak kita, pejuang kita tidak berminat mengasah bakat berfikir dan menulis, tidak berminat dan mungkin juga malas.

Kebanyakan dari kalangan penggerak dan pejuang yang menganggotai PENULIS, hanya duduk dalam gerakan dakwah dan menunggu arahan dari ketua apa yang terbaik dilakukan untuk pembangunan Islam.

Mereka tidak boleh mengerah otak untuk duduk seketika menulis pandangan dan lontaran di benak fikiran mereka. Ia bukan soal tidak pandai menulis ataupun mengarang. Tetapi mereka tidak berminat untuk membiasakan diri dalam bidang penulisan tetapi lebih berminat bercakap, mengkritik dan juga hanya mengomen.

PENULIS sebenarnya telah menjanjikan pada anggotanya untuk dilatih tektik-teknik penulisan, kaedah, perundangan dan sebagainya untuk memantapkan penulisan mereka. Namun kerana masalah sikap mereka yang tidak mahu meletakkn diri dalam bidang berfikir, membaca, mengkaji dan juga menulis membuatkan hasrta PENULIS tidak kesampaian.

Penyebab yang KEDUA adalah PERKAUMAN dan KEKITAAN NGO. Seperti yang saya katakan anggota PENULIS adalah anggota dari NGO yang bergerak aktif di Kota Kinabalu. Daripada risikan yang saya dapati, PERKAUMAN dan KEKITAAN NGO membuatkan hasrat PENULIS berkubur.

Memang wujud dikalangan penggerak-penggerak NGO di Sabah mempunyai sikap PERKAUMAMN dan KEKITAAN NGO. Ia bermaksud, penggerak kita lebih minat bergerak dalam NGO sendiri daripada berkerja dalam satu bumbung dengan rakan NGO yang lain.

Memandangkan PENULIS bukanlah sebahagian dari sayap NGO mereka, membuatkan penulis tidak dipedulikan. Tetapi sekiranya PENULIS diwujudkan sebagai sayap daripada NGO mereka, sudah pasti PENULIS akan diperjuangkan seluruh jiwa dan raga.

Sejujurnya saya amat kecewa kerana PENULIS tidak dapat digerakkan. Lebih-lebih lagi apabila PERKAUMAN dan KEKITAAN NGO adalah punca utama kepada masalah ini. Soal PERKAUMAN dan KEKITAAN NGO ini membolehkan saya berkata “jangan dari kalangan mereka mengatakan soal kesatuan Islam dan kesatuan ummah kepada saya sekiranya mereka masih bersekongkol dengan SYAITAN dalam PERKAUMAN dan KEKITAAN NGO".

Dengan sikap kita yang tidak berminat untuk mengangkat paradigma untuk menguasai bidang-bidang lain di tambah pula PERKAUMAN DAN KEKITAAN. Sesungguhnya gerakan dakwah kita ibarat menuang air ke daun keladi semata-mata. Mungkin juga pahala pun tidak diperolehi malahan dosa bertambah melambak kerana PERKAUMAN dan KEKITAAN…FIKIR-FIKIRKAN….

Tuesday, March 8, 2011

SURAT TERBUKA UNTUK DATO' SERI NAJIB TUN RAZAK

Surat ini dipetik dari laman www.suarafata.blogspot.com

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya, Muhammad Muizzuddin bin Zaini. InsyaALLAH, Julai nanti genaplah umur saya 19 tahun. Masih berbaki lebih kurang 2 tahun, sebelum saya layak mengundi. Tetapi saya yakin, dalam ruang demokrasi, tidak pula mensyaratkan yang saya hendaklah berumur 21 tahun untuk melayakkan surat saya ini dibaca Dato’ Seri.

Dato’ Seri, saya ingin memperkenalkan diri sebagai remaja yang sangat ingin tahu. Keinginan saya ini, menjadikan saya remaja yang tidak hanya terpaku di meja belajar semata. Saya mampu menonton berita hingga ke penghujungnya (tidak di bahagian Sukan semata). Saya juga mampu membaca suratkhabar dari muka depan hingga ke muka akhir. ‘Singgah’ di laman-laman sesawang untuk melihat berita-berita yang tidak tersiar di media arus perdana. Saya juga remaja yang suka meladeni buku-buku yang tidak menjadi kegilaan kebanyakan remaja seusia saya kini.

Tidaklah pula saya katakan, yang saya lebih tahu daripada Dato’ Seri, tidak. Saya cuma mahu tegaskan, saya adalah remaja yang memerhati. Saya adalah remaja yang bukan kerjanya sehari-hari, makan, tidur, ‘menelan’ buku teks semata. Saya adalah remaja yang mengikuti rapat perkembangan-perkembangan semasa negara tercinta ini.

Izinkan saya Dato’ Seri, untuk memberi pandangan saya. Pandangan seorang budak, seorang remaja. Mungkin Dato’ Seri fikir, apalah ada pada seorang remaja seperti saya. Justeru, suka untuk saya ingatkan pada Dato’ Seri yang InsyaALLAH, kelak, kamilah yang akan membuang undi!
Dato’ Seri Najib yang saya hormati, memimpin sebuah negara bukanlah perkara yang mudah. Tidak pernah ia menjadi mudah, tidak boleh ia diambil mudah. Ia adalah persoalan besar dan penting. Persoalan yang diletakkan tinggi di dalam Islam. “Kepimpinan adalah amanah, celaan di dunia, dan penyesalan di akhirat”, begitu sabda Nabi SAW.

DASAR

Saya, yang tohor ilmu dan cetek pengalaman ini, percaya bahawa, setiap tindakan kita adalah bergantung kepada prinsip yang kita letakkan sebagai neraca asas. Bagi sesetengah orang, mereka meletakkan Demokrasi sebagai neraca asas mereka. Ada yang meletakkan kepentingan peribadi, atau kroni, atau Sosialisme, Liberalisme dan sebagainya. Bagi kita, seorang Muslim, neraca asas yang menjadi dasar pertimbangan kita tentulah ISLAM. Izinkan saya bertanya, apakah Asas Utama kepada setiap tindakan Dato’ Seri?

Apakah Islam? Atau Kepentingan diri, atau kroni, atau selainnya?

Maaf Dato’ Seri, kiranya jawapan Dato’ Seri bahawa asas bagi setiap tindakan Dato’ Seri adalah Islam (saya tak pasti jika Dato’ Seri akan memilih jawapan selainnya), maka saya ada beberapa soalan untuk Dato’ Seri.
Saya amat keliru dengan dasar Program Transformasi Ekonomi yang dibawa Dato’ Seri. Apakah ianya dirangka dengan neraca Islam atau selainnya. Justeru, saya mohon penjelasan Dato’ Seri.

Saban hari, saya dan rakan-rakan, menerima berita dari segenap pelusuk negara, samada dekat dengan kami atau jauh, remaja seusia kami yang MENGHILANG! Iya, ‘hilang’ nyawa kerana penggunaan dadah berlebihan atau kerana perlumbaan haram. ‘Hilang’ maruah dan harga diri kerana amalan penzinaan lewat pergaulan bebas. ‘Hilang’ akal kerana ketagihan ekstasi, pil khayal dan arak. ‘Hilang’ kewarasan hingga tergamak membunuh bayi kecil atau ditinggalkan di jalanan untuk menjadi habuan anjing dan hurungan semut. ‘Hilang’ kemampuan untuk menjadi barisan pelapis kepimpinan negara. ‘Hilang’ arah hinggakan nafsu ‘disembah’ sebagai Tuhan! HILANG Dato’ Seri, HILANG!

Saya begitu terkesan pada pesan Saiyidina Ali KWJ, “Lihatlah pada generasi muda, untuk menilai masa depan ummatnya”. Saya tergamam dan jadi takut Dato’ Seri, melihatkan rakan-rakan sebaya yang hanyut. Apakah sebegini hancur dan punahnya masa depan negara tercinta ini!?

PELAN TRANSFORMASI EKONOMI


Program Transformasi Ekonomi anjuran kerajaan pimpinan Dato’ Seri, turut menggariskan perancangan untuk MENJADIKAN MALAYSIA SEBUAH HAB HIBURAN MALAM UNTUK MEMACU INDUSTRI PELANCONGAN. Di atas alasan untuk memperkasa industri pelancongan dan menarik pelancong juga, kerajaan pimpinan Dato’ Seri merancang penubuhan kelab-kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert utama, melonggarkan garis panduan untuk penghibur antarabangsa dan mempakejkan semula acara antarabangsa seperti Formula 1 dan MotoGP.

Kerajaan Dato’ Seri juga mencadangkan penubuhan zon hiburan di Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, Genting Highlands, Pulau Pinang, Langkawi dan Kota Kinabalu bagi menggandakan pendapatan hiburan malam Malaysia kepada RM1.8 bilion menjelang 2020. Penubuhan enam kelab malam baru yang mampu menampung kehadiran 900 pengunjung pada hujung minggu menjelang awal 2012 akan menyusul. Dua lagi akan beroperasi pada 2013 dan 2014.

Maka, menjelang 2014, akan terdapat sekurang-kurang 10 kelab malam di zon hiburan. Rancangannya adalah untuk menghasilkan impak pendapatan kasar negara RM0.7 bilion dan mewujudkan lebih kurang 5,000 pekerjaan baru menjelang 2020. Bagi mencapai hasrat itu, kerajaan Dato’ Seri akan merubah beberapa peraturan hiburan, termasuk membenarkan pelanjutan had waktu beroperasi bagi pusat hiburan malam.

Dato’ Seri juga berhasrat melonggarkan lagi syarat-syarat untuk persembahan artis luar negara. Dan kami telahpun menyaksikan bagaimana, seorang penyanyi gay membuat persembahan, memuaskan nafsu remaja-remaja muda, dengan kebenaran daripada kerajaan Dato’ Seri.

Izinkan saya ulangi soalan saya Dato’ Seri, apakah Islam diletakkan sebagai neraca timbangan waktu Dato’ Seri merangka, membentang dan membahas idea ini? Ataupun Dato’ Seri punya pilihan lain yang Dato’ Seri lebih suka untuk diletakkan sebagai neraca timbangan?

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri, apakah Dato’ Seri penuh sedar, bahawa perancangan Dato’ Seri ini adalah perancangan ‘PEMUSNAHAN’ besar-besaran? Ini bukanlah pelan pembangunan ekonomi, ini adalah pelan ‘PEMUSNAHAN’ berskala besar, yang akan menjadikan rakan-rakan seusia saya, remaja semuda saya atau lebih muda, hancur musnah Akhlaknya, punah-ranah Sahsiahnya.

Iya, Dato’ Seri akan ‘menghancur’ dan ‘membunuh’ pemimpin masa depan, para bijak pandai masa depan. Dengan Dato’ Seri melambakkan pada mereka, hiburan dan keseronokan melampau! Saya dan rakan-rakan, bakal dihidang dengan acara memuas nafsu yang berterusan. Ini akan menatijahkan hanya satu Dato’ Seri, hilang upayanya kami untuk menduduki barisan kepimpinan negara suatu masa nanti. Atau apakah pada pandangan Dato’ Seri, yang kami akan menjadi lebih bijak dan pandai kiranya ‘menelan’ hiburan-hiburan ini?

IFF dan AURAT

Dato’ Seri, seolah-olah saya pernah mendengar Saiyidina Umar al-Khattab menegaskan, “Bahawa adalah kita, ummat yang dimuliakan Allah dengan Islam. Sesiapa yang mencari kemulian selain daripada Allah, maka akan dihina Allah”. Terasa-rasa seperti terdengar SA Umar beritah demikian, kerana ia begitu meresap masuk di hati ini.

Dato’ Seri, saya begitu kecewa dan terkesima jadinya, waktu melihat Dato’ Seri dan isteri, melangkah megah di Festival Fesyen Islam, Monte Carlo tempoh hari. Saya tak dapat mengawal hati, untuk berteriak-teriak marah tatkala melihat gambar pakaian-pakaian yang diperaga atas nama “Kelembutan Islam” (Modesty of Islam), yang dinaungi oleh isteri Dato’ Seri dan pastinya dengan izin Dato’ Seri. Saya dan sahabat-sahabat terpinga-pinga dan tertanya-tanya, apakah ini pemahaman Dato’ Seri dan isteri mengenai pemakaian di dalam Islam?

Saya dan rakan-rakan jadi jelak dan muak Dato’ Seri, maaflah. Waktu Dato’ Seri ‘bertempik’ berikrar untuk mempertahankan Islam dan Melayu, isteri Dato’ Seri tidak pernah berusaha untuk menyahut seruan suaminya sendiri. Isteri Dato’ Seri tidak pernah kelihatan menutup aurat dengan sempurna. Isteri Dato’ Seri berpeluk mesra dengan orang yang haram bersentuhan (bukan mahram) tanpa segan silu di khalayak ramai. Saya tertanya-tanya, apakah Dato’ Seri meredhai perbuatan isteri Dato’ Seri ini?

JUDI

Bukan sedikit kontroversi yang berlaku waktu Dato’ Seri mengumumkan pemberian lesen kepada syarikat-syarikat tertentu untuk mengurus perjudian sukan di Malaysia pertengahan 2010 lalu. Sukar untuk saya agak, apakah harapan Dato’ Seri dengan pemberian lesen-lesen judi ini?

Apakah ini juga satu pelan meningkatkan ekonomi Malaysia? Apakah Dato’ Seri gembira dengan duit yang mencurah masuk, dalam masa yang sama kita melihat betapa hebatnya gejala buruk yang bakal timbul lewat perjudian?

Apakah Dato’ Seri meletakkan neraca BERKAT dan LA’NAT waktu mengemukakan cadangan ini? Apakah Dato’ Seri akan meredhai kiranya rakyat Malaysia memberi sesuap nasi kepada keluarga mereka, daripada wang yang mereka perolehi hasil judi? Apakah budaya yang cuba dibentuk Dato’ Seri sebenarnya?

Apakah keputusan-keputusan ini, ditimbang dengan neraca agama? Atau Dato’ Seri menggunakan neraca lain sebagai ganti?

KEMISKINAN dan HARGA NAIK

Dato’ Seri, orang bangsawan. Keturunan bangsawan. Barangkali, jika tidak jadi Perdana Menteri Malaysia pun, Dato’ Seri tetap akan hidup senang-lenang mewarisi kekayaan. Menteri-menteri Dato’ Seri juga, kaya raya.

Maka, tidak kiralah, jika hari ini minyak naik 10 sen, 20 sen, 50 sen atau Rm 10 sekalipun, Dato’ Seri dan sekalian menteri tidak akan bersusah. Tidak perlu berjerih payah.

Tahukah Dato’ Seri, di celah-celah, ceruk-ceruk kampung atau kota, ada rakyat yang menderita lewat kebejatan ekonomi yang punah hasil ketirisan dan kelemahan pengurusan. Pengurusan yang tidak meletakkan Islam sebagai neraca dan Allah sebagai penilainya, adalah pengurusan yang menghancur!

Dato’ Seri, saban hari saya melihat orang-orang miskin dan kesusahan. Tahukah Dato’ Seri, untuk menyekolahkan anak pun, sudah membuatkan mereka terpaksa membanting tulang, berusaha keras, apatah lagi untuk menghantar mereka ke menara gading (yang PTPTN lebih menghimpit daripada membantu). Kadang-kadang, apabila anak-anak yang bersekolah, meminta wang lebih untuk buku rujukan tambahan, si ibu atau bapa terpaksa menghulur dalam titis air mata. Sudahlah yuran persekolah masih dihutang. Bukan sedikit keringat yang dicurah, demi sesuap rezeki halal untuk anak-anak dan keluarga.

Kerajaan Dato’ Seri jangan terlalu bergantung kepada statistik dan kajian untuk menilai kemampuan rakyat. Selamilah sendiri penderitaan rakyat, yang terseksa dan merana kerana sistem ekonomi yang menyiksa. Setiap kali harga minyak atau keperluan utama naik, meski sekadar 10 sen atau 20 sen, mengalirlah air mata rakyat yang menanggungnya.

Rakyat benar-benar tersiksa sekarang. Janji tinggal janji, janji tidak pernah dipenuhi. Janji itu dan ini, sekadar untuk meraih undi. Waktu berkuasa, kami rakyat sudah dilupai. Tinggal kami, bermatian berusaha keras sendiri.

SUARA RAKYAT

Waktu rakyat turun ke jalanan berdemonstrasi, untuk meluahkan rasa yang terbuku di hati, dan berkongsi pedihnya kehidupan dengan Menteri-menteri yang berkuasa, Dato’ Seri menghantar pada kami, ‘perusuh-perusuh’ yang membantai tulang lemah dan daging kurus kami. Kami dibelasah dan diinjak-injak umpama binatang korban, umpama tak punya maruah. Kami diherdik dan dicaci. Kami disimbah dengan air kimia yang saya yakin, Dato’ Seri sendiri tidak pernah rasai pedih dan peritnya.

Dan menteri-menteri Dato’ Seri, tanpa rasa bersalah, menggelarkan kami sebagai perusuh yang cuba menggugat keselamatan negara, beruk-beruk di jalanan yang cuba menarik perhatian.. kalaulah mereka yang menuduh melulu itu, memahami pedihnya hati ini.

Semuanya adalah kerana, kami rakyat, cuba untuk berkongsi rasa dengan pimpinan negara. Sudahlah pilihanraya dijalankan dalam keadaan penuh keraguan dan ketidakadilan, ruang media yang disekat, tangan dan kaki kami rakyat diikat, maka ruang kecil untuk bersuara di jalanan inilah, ruang untuk kami menyampaikan rasa pada pemerintah dan pemimpin kami. Sekadar ruang kecil untuk kami bercerita dan berkongsi, betapa peritnya kehidupan yang kami rakyat lalui.

Pernahkah Dato’ Seri pedulikan suara kami? Pernahkan selain daripada tarikh pilihanraya Dato’ Seri menjadi begitu cakna pada kami? Pernahkah waktu pandangan rakyat yang tidak menguntungkan Dato’ Seri diambil peduli? Pernahkah Dato’ Seri?

Dato’ Seri bertindak sungguh responsif setiap kali adanya himpunan-himpunan rakyat.Melalui Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Dato’ Seri memastikan kami rakyat yang berhimpun tidak akan berjaya berhimpun dengan aman dan baik. Media dibawah kawalan Dato’ Seri juga menggunakan segala maklumat yang ada untuk memburuk-burukkan kami. Ulama’-ulama’ yang bernaung di bawah Dato’ Seri juga menggali hujah-hujah agama demi membuktikan tindakan kami bersuara, adalah bercanggah pada sisi agama.

Dato’ Seri, saya sungguh kecewa dengan setiap tindakan ini. Bukankah perhimpunan anjuran Dato’ Seri, pada setiap malam menunggu detik Kemerdekaan dan Awal Tahun Baru, ribuan malahan mungkin ratusan ribu rakyat termasuk golongan muda-mudi datang menyertai. Akhbar arus perdana jugalah yang melaporkan tangkapan demi tangkapan kerana berkhalwat, kerana dadah, kerana berkelakuan tidak sopan pada setiap kali sambutan-sambutan anjuran Dato’ Seri. Apakah pernah himpunan rakyat membantah ketidakadilan dan mahukan sedikit keadilan, pernah menjadi sebab untuk anak-anak muda ditangkap khalwat?

Dan pernahkah Ulama’-ulama’ muda yang bernaung di bawah Dato’ Seri itu menegur Dato’ Seri kerana program jamuan nafsu tersebut. Tetapi menegur himpunan rakyat yang bersuara, sebagai Bughah (derhaka) dan menuju Maksiat!?

REFORMASI

Saya dan juga rakan-rakan, adalah remaja muda yang punya sikap. Punya pendirian. Kami berazam, untuk mengubah keadaan ini Dato’ Seri. Kami berazam dan bertekad, seluruh diri kami akan diperguna untuk memperbaiki keadaan punah ini.

Kaedah merubah itu 2 Dato’ Seri. Pertama, nasihat agar berubah. Kedua, kira gagal, UBAH sendiri. Nasihat sudah saya berikan. Pandangan sudah saya sampaikan. Rakyat lain juga begitu, isyarat sudah mereka sampaikan.

Jika sampai masanya, untuk kami membuat pilihan, dan keadaan tidak lagi pulih, percayalah Dato’ Seri, kami sudah membuat pilihan sekarang untuk siapa yang layak menerima undi kami nanti.

Tidak cukup dengan itu, saya dan rakan-rakan, kami adalah remaja muda yang penuh tenaga dan kekuatan. Kami akan gerakkan massa suatu hari nanti. Agar pentadbiran, pengurusan, pemerintahan, kewangan dan sistem kehidupan yang meletakkan Islam, Keadilan, Kesejahteraan, Keamanan sebagai asas, akan mendapat tempat tertinggi di negara ini.

Dato’ Seri, saya tidak mengancam. Tidak pula mengugut. Saya mengingatkan. Kerana inilah tanggungjawab saya sebagai Mu’min. Bukankah sesama Mu’min itu bersaudara?

Dato’ Seri, mungkin surat ini akan sampai kepada pengetahuan Dato’ Seri, mungkin juga tidak. Kiranya ia sampai ke pengetahuan Dato’ Seri, saya dahulukan dengan permohonan maaf, kerana mungkin ada kesilapan saya. Maklumlah, saya remaja muda, mungkin ada silap dan salah pada gerak langkahnya. Saya juga berterima kasih, iyalah, orang sesibuk Dato’ Seri meluangkan masa untuk mengambil perhatian pada surat saya ini, itu adalah satu penghormatan buat remaja seperti saya.

Namun Dato’ Seri, kiranya ada pada surat ini, ataupun tindakan-tindakan remaja muda seperti kami ini yang mungkin lantang menyatakan pendirian, hingga mungkin Dato’ Seri terguris hati, kami tidak memohon maaf untuk itu. Kerana Dato’ Seri, INI MEMANG ADALAH PENCAK KAMI!

Sekian, terima kasih.

Yang benar,
Muhammad Muizzuddin Bin Zaini

Sunday, February 20, 2011

SANDAKAN KOTA KINABALU

Alhamdulillah, bertemu lagi kita di artikel ini setelah lama saya menyepi. Bukan sengaja untuk mendiamkan diri, tetapi kelapangan masa dan mood yg sesuai tidak pernah ada dalam kehidupan seharian saya bust masa ini. Dalam tidak ada kelapangan tu, jiwa menjadi gundah kerana ada tugasan yang belum saya tunaikan untuk di sajikan kepada pembaca sekelian.

Alhamdulillah, sekarang hampir dua bulan berada di bumi Sandakan, melaksanakan tanggungjawab sebagai Pengurus di sebuah syarikat kawalan keselamatan. Dari rutin dan jadual kehidupan seharian, rasanya tidak banyak perbezaannya dari di Kota Kinabalu.

Tetapi dari segi suasana kehidupan, ia cukup memberikan impak yang besar pada ketahanan mental saya dan keluarga. Bayangkan saja, dari mula hidup di alam dewasa telah menetap di Bandar besar Kota Kinabalu. Setelah 6 tahun hidup di bandar besar, tiba-tiba berpindah ke bandar kecil, ia amat menyiksakan.

Sandakan adalah kampung kelahiran saya, mungkin ia tidak memberikan sebarang kekekokan dalam pergaulan dan sebagainya. Cuma saya sangat terasa perberbeza antara Sandakan dan Kota Kinabalu adalah keindahan panorama dan kebersihannya.

Kota Kinabalu mempunyai keindahan panorama yang jauh lebih indah berbanding Sandakan. Apatah lagi dari segi kebersihannya. Saya tidak pasti apa sebenarnya yang berlaku kepada pentadbiran Majlis Perbandaran Sandakan. Bila di perhatikan sekeliling, sampah bersepah, rumput tidak di potong, pokok bunga tidak subur, pokok besar tidak rendang. Keindahan Kota Kinabalu tidak akan anda dapat hayati selagi anda tidak keluar dan melihatnya dari daerah lain.

Bila berjalan di Sandakan setelah solat Isyak, semua kedai tutup seolah-olah seperti mereka takut akan kehadiran saya. Semuanya kelam kabut menutup kedai seperti ada sesuatu yang akan berlaku. 8.30pm semuanya dah gelap membuatkan saya teringat kepada Kota Kinabalu yang masih terang bederang walaupun jam 1pm.

Ramai dari kalangan rakan-rakan yang tidak perasan saya telah berpindah ke Sandakan, ini berikutan setiap hujung minggu mereka nampak saya di Kota Kinabalu sama seperti sebelum saya pindah. Ini kerana walaupun saya dah berpindah ke Sandakan, tetapi keluarga saya masih berada di Kota Kinabalu menyebabkan saya perlu berulang alik setiap minggu.

Untuk 2 bulan ni sahaja dah hamper 10 kali saya memandu berulang alik, ada sekali tu seminggu sampai dua kali saya ulang alik. Inilah antara cabaran fizikal dan mental yang saya perlu dilalui. Insyaallah, hujung minggu ni saya akan balik lagi ke Kota Kinabalu dan saya akan masuk ke rumah baru untuk menjalankan kehidupan sama seperti anda sekembalinya dari Kota Kinabalu.

Saya memohon doa daripada rakan-rakan agar segala urusan saya di permudahkan. Doakan juga saya di perkuatkan untuk melibatkan diri dalam program-program yang di anjurkan di Kota Kinabalu dan meneruskan aktiviti dakwah di Daerah Sandakan... InsyaAllah.....

Friday, February 18, 2011

MENGAPA AKTIVIS AGAMA BERBEZA SEHINGGA HAMPIR BERPECAH?

Artikel ini telah di tulis oleh Ust Zaharuddin dalam webnya www.Zaharuddin.net Isi kandungan seperti artikel ust Zaharuddin ini pernah saya tulis di artikel yang lepas bertajuk "PERPECAHAN PUNCA DAHWAH DI SABAH TERBANTUT". Kali ni Ust Zaharuddin menulis lagi dalam webnya dengan lebih terperinci pada skop pandangannya.

Saya sangat bersetuju dengan penulisan Ust Zaharuddin, pada saya walaupun banyak gerakan dakwah itu lebih baik…tetapi dengan banyaknya pecahan2 dengan fikrah2 yg berbeza, ia tidak memberikan impak yg kuat pada gerakan dakwah. Ini kerana, kebanyakan gerakan dakwah ini, lebih banyak memperkukuh n memperkuatkan jamaah masing2 berbanding memperkuatkan Islam itu sendiri….mari kita baca tulisan Ust Zaharuddin:-

Sebelum ini saya telah pernah menulis perihal kejinya sangka buruk yang sering berlingkar di dalam masyarakat. Hari ini saya ingin mengecilkan sedikit skopnya, bagi menyambung beberapa isi dalam artikel‘Inginkah Ulama Malaysia seperti Al-Qaradawi’ yang ada menyebut berkenaan pertelingkahan atau perbezaan pandangan di kalangan graduan agama di tanahair, malah di seantero dunia. Ada mereka yang bertanya lanjut, justeru ini sebahagian ulasannya.

Tidak dinafikan ada juga kedapatan jurutera yang bertelagah, namun mungkin jarang disebabkan ilmu mereka tetapi mereka bertelagah mengenai pangkat, jawatan, gaji, persaingan dan keputusan di tempat kerja. Ya mereka mungkin bertelagah disebabkan urusan dunia.

Demikian doktor, peguam, artitek, akauntan, guru dan sebagainya. Namun pertelagahan menjadi lebih kelihatan buruk apabila punca yang dizahirkan adalah bukan dunia tetapi disebabkan ilmu Islam atau akhirat.

Saya masih baru dalam dunia dakwah, hanya baru berpengalaman menyertainya sejak 20 tahun lalu. Dalam tempoh itulah saya terjun secara khusus dalam bidang dakwah, sama ada secara fardiah atau jama’iyyah. Saya mungkin masih agak mentah berbanding tokoh-tokoh pendakwah lain yang wujud di Malaysia. Namun begitu saya kira, tempoh itu sewajarnya cukup untuk memberi saya masa untuk meneliti antara punca pertembungan di kalangan ilmuan atau graduan agama di Negara kita dan di peringkat antarabangsa.

Sedihnya, jumlah mereka yang berminat kepada ilmu agama dan yang berkait dengannya tidaklah ramai, namun dari jumlah yang tidak ramai ini berlaku pula perselisihan dan pertelingkahan, kutuk mengutuk di antara satu sama lain. Mengapa demikian?

Bayangkan mungkin jumlah yang berminat dengan agama ini hanya 20-30 % dari seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam, dari situ terpecah dan berbalah disebabkan aliran Salafi (digelar wahabi), Khalafi (digelar Ahbash). Terpecah pula disebabkan politik, dan seterusnya terpecah lagi disebabkan berlainan wala’ dan bai’ah masing-masing kepada jemaah Tabligh, ABIM, JIM, IKRAM, ISMA, Tarekat, PAS, Hizb Tahrir dan lainnya.

Justeru, kelihatan semua pihak berlumba-lumba ‘mengejar’ sokongan dan dokongan, adakalanya SEBAHAGIAN DARI MEREKA menggunakan teknik menghentam pihak yang lain bagi meyakinkan kumpulannya lebih baik dari yang lain. TIDAK MAMPU lagi untuk bersangka baik terhadap pihak lain. Asyik tidak yakin dengan kemampuan pihak lain. Snagka buruk akhirnya didahulukan, cuba menelaah niat 'tidak ikhlas' orang lain untuk menjustifikasikan tentangan. Perlukah demikian? Banyakkah keuntungan yang diperolehi oleh Islam dan umatnya melalui cara ini?

Bagaimanakah boleh tertariknya kumpulan majoriti umat Islam yang tidak minat dan tidak ambil berat urusan agama kepada Islam jika itulah gambaran yang terlihat berlaku di kalangan mereka yang serius di bidang agama?.

Ketidaksatuan ini hanya akan lebih memburukkan imej Islam dan muslimin, mengelirukan sesiapa sahaja yang ingin mula berjinak-jinak dengan Islam. Entahlah, tidak diketahui siapa yang perlu memulakan proses perdamaian tetapi yang pasti masing-masing perlu memperbetulkannya bermula dengan diri mereka sendiri.

Wednesday, January 19, 2011

START FROM THE BEGINNING

Alhamdulillah, hari ini dah hari ke empat saya berada di Sandakan bagi memulakan tugas sebagai Pengurus Negeri untuk Tiara Force Security Sdn Bhd dan Sri Lara Joint Security Sdn Bhd. Ia merangkumi khidmat kawalan keselamatan 17 buang sekolah meliputi kawasan sandakan, kinabatangan, tawau, beluran, jalan sapi nangoh dan 2 buah pejabat sandakan dan tongod.

Dalam beberapa hari ini saya cuba mencari ruang untuk mencoretkan apa2 yang terlintas di fikiran, namun tidak mempunyai ruang yang selesa untuk menulis. Alhamdulillah, hari ini kerani saya dah mula melapor diri untuk menjalankan tugasnya membantu saya, adalah juga ruang sedikit sebanyak saya gunakan untuk berkongsi cerita dengan pembaca sekelian.

Ini adalah artikel kesinambungan cerita daripada artikal saya yang sebelum ini bertajuk "antara perjuangan kerjaya dan keperluan". Alhamdulillah, saya ada merancang beberapa pendekatan dan program dakwah yang akan saya mulakan setelah kerja-kerja saya agak selesai nanti.

Sebenarnya untuk meninggalkan Kota Kinabalu yang telah serasi dengan kehidupan seharian terutamanya dari segi pergaulan bukanlah perkara yang mudah. Namun, atas dasar tanggungjawab pada keluarga, semua ini harus di ketepikan dahulu dan membuka empayar baru di daerah Sandakan.

Saya berhasrat untuk menjalinkan kerjasama harmoni di kalangan kita dengan pemimpin-pemimpin agama seluruh daerah sandakan untuk menjalinkan keharmonian hidup beragama. Rasanya kita harus bermula dari sekarang untuk mendekati mereka bagi mengikis persepsi islamophobia.

Apa pun, saya akan mulakan semua ini setelah saya agak stabil di Sandakan. Memandangkan tugasan yang agak banyak di permulaan ini dan harus kembali menjenguk keluarga di hujung minggu di Kota Kinabalu. Rasanya belum sampai masanya saya terjun kebidang keharmonian antara agama. Setelah saya berpindah sepenuhnya ke Sandakan, insyaallah segalanya akan bermula.

Doakan segala perancangan saya akan tercapai dan dapat memberikan manfaat kepada saya, agama, bangsa dan negara insayaallah...amin.

Thursday, January 13, 2011

PENGURUSAN ORGANISASI GEREJA

Pengurusan Organisasi Gereja adalah antara sedikit sebanyak ilmu yang telah saya dapati semasa lawantan ke Secrat Heart Cathedral baru-baru ini. Pengurusan oraganisasi yang betul adalah kayu pengukur kepada kejayaan atau kegagalan sesuatu gerakan Islam.

Saya tidak nafikan dalam gerakan Islam, terdapat organisasi yang nampak cantik, lengkap dan juga sempurna pada pandangan mata. Tetapi sebenarnya organisasi gerakan Islam, sekadar melepaskan batuk di tangga ataupun sekadar berak di bibir mangkuk tandas sahaja. Ini kerana, daripada 10 organisasi gerakan Islam kita, belum tentu ada 1 yang cemerlang pengurusannya.

Saya berani katakan begini kerana kita tidak dapat menafikan hakikat kelemahan gerakan Islam berbanding gerakan dakyah. Tidak hairan kiranya gerakan dakyah telah kenyang perut menikmati hasil usaha mereka sedangkan kita masih keliru method dan peralatan untuk menguruskan organisasi. Ini kerana banyak pemimpin Islam kita bersikap agak BODOH dan SOMBONG. Terutamanya yang memegang jawatan tetapi nafsu tidak kurang otak dilutut, temberang bukan alang-alang telur masuk ke dalam perut.

Saya tidak berhasrat memijak gerakan Islam dan memuji gerakan dakyah. Ia sekadar cuba untuk menyedari dan mengakui kelemahan diri agar wujud kekuatan untuk merubah pengurusan organisasi agar lebih baik dan sempurna dari pandangan mata dan juga perlaksanaan. Dalam istilah lain dipanggil yang baik dijadikan tauladan dan yang tidak baik dijadikan sempadan

Dalam organisasi gereja, antara yang paling penting sekali adalah sejauh mana bentuk struktur organisasi dapat mencapai misi dan sasaran gereja. Ia seperti berapa banyak biro utama yang diwujudkan dan berapa dalam pula ia menurun untuk sampai kepada masyarakat. Mungkin ini tidak membantu anda untuk memahami konsep ini.

Untuk lebih jelas lagi, dalam organisasi gereja, mereka mewujudkan biro-biro penting sama seperti organisasi kita. Cuma bezanya organisasi mereka disusun atur menurun dengan lebih spesefik. Contohnya diwujudkan biro sosial yang di bawahnya di wujudkan lagi 2 biro yang lebih spesefik seperti biro sosial dewasa dan sosial belia. Daripada 2 ini di pecahkan pula dengan spesefik contohnya biro belia 30-40 tahun, biro belia 20-30 tahun dan belia 20 tahun kebawah.

Daripada 3 biro ini akan dipecahkan lagi dengan lebih spesefik kepada sasarannya seperti belia 20tahun ke bawah di pecahkan pula pada, unit kanak-kanak, unit sekolah rendah dan juga unit sekolah menengah. Ini bertujuan mereka-meraka yang mengganggotai biro dan unit yang diwujudkan, dapat fokus dalam pelaksanaan tugasan mereka bagi mencapai misi yang disasarkan.

Kunci kepada organisasi ini adalah penglibatan masyarakat dalam organisasi ini terutamanya golongan belia. Bagi menarik golongan belia ini, satu biro khas diwujudkan bagi merangsang, menyuburkan minat, memotivasikan belia agar duduk dalam organisasi mereka dan menanamkan sedalam-dalamnya pada pemikiran mereka bahawa duduknya mereka dalam organisasi ini adalah atas kehendak tuhan Jesus.

Biro ini cukup profesional kerana melatih dan mendidik penggerak-penggerak yang berkemahiran sama seperti sistem latihan yang dikendalikan oleh konsultan swasta di luar, cukup profesional dan cukup berkalibar untuk melatih dan memotivasikan belia untuk turut serta dalam kegiatan gereja.

Ini berbeza dengan kita yang kebiasaannya mewujudkan syukbah dakwah ataupun wanita yang sekadar disenaraikan sahaja nama ahli yang mengganggotainya. Tetapi siapa sasaran yang hendak di dakwah pun kita tak jelas, silap-silap yang memutuskan syukbah tersebut tidak tahu siapa sasaran dan misi syukbah tersebut. itu belum kira lagi dari 20 orang menganggotai organisasi kita, hanya 4 orang sahaja yg aktif, yang lain sekadar nama terpampang dan orangnya ntah hilang kemana

Ditambah pula kebanyakan organisasi gerakan Islam kita tidak ada mewujudkan kumpulan, unit atau biro yang boleh memberikan dorongan semangat kepada masyarakat luar untuk terlibat dalam gerakan Islam. Tidak hairanlah kita jaaaaaaaaaauh ketinggalan di belakang, fikir-fikirkanlah.
Design by Abdul Munir
Visit Original Post Tas Murah Template