Thursday, March 31, 2011

APA ERTI BANYAKNYA NGO ISLAM

Baru-baru ni, sebuah lagi NGO Islam telah di lancarkan di Kota Kinabalu. Pertubuhan IKRAM Malaysia, Sebuah pertubuhan hasil penyatuan beberapa NGO di peringkat pusat antaranya Jamaah Islah Malaysia (JIM). IKRAM juga adalah antara pertubuhan NGO yang wujud di Negeri Sabah setelah banyak NGO telah bertapak dan bergiat dalam aktiviti dakwah.

Kewujudan NGO Islam di Sabah boleh juga dikatakan seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan. Banyak tidak terkira, daripada NGO yang dikenali ramai hinggalah NGO yang tidak pernah orang ramai dengar namanya. Namun sejauh manakah hasil gerakan dakwah di Negeri Sabah?.

Banyaknya NGO Islam di Negeri Sabah tidak kurang ibaratnya seperti buih di lautan. Banyak sekali wujudnya, tetapi tidak memberi makna kepada perkembangan dakwah. Islam terus di tindas dan terus dicabar oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Sekarang Islam di badai isu Al-Kitab dan azan dipermain-mainkan kononnya seperti menjual kwee Teaw dan kuih pau ?. Berapa banyak NGO yang tampil membuat kenyataan samada membantah, menegur, membetulkan dan sebagainya?. Semuanya senyap membisu seribu bahasa seperti ayam berak kapur. Banyak pemimpin NGO bergelar Prof, Dr, Ust, Imam, Tuan Haji dan lain-lain gelaran. Semuanya senyap seribu bahasa, mungkin takut memberi kesan pada jawatan yang disandang.

Apalah impak yang dapat kita berikan dengan pertambahan jumlah NGO Islam di Sabah. Dikatakan USIA sudah berumur, sudah tua, tidak aktif, tidak bertaring seperti dahulu. Tetapi sekurang-kurangnya ia pernah mencipta sejarah satu ketika dahulu yang tidak dapat kita nafikan. Namun NGO Islam kita yang ada sekarang, hujung jarum pun tidak memberikan kegentaran kepada musuh-musuh Islam. Mungkin hanya memberi kegentaran kepada orang Islam sendiri iaitu Kerajaan UMNO kerana banyak yang Pembangkang, tetapi tidak pada musuh-musuh Islam.

Ini semua kembali kepada ketidak satuan jamaah kita dalam menjalankan gerakan dakwah di Negeri Sabah. Masing-masing dengan fikrah sendiri, idealogi perkauman dan pendekatan tarbiah sendiri, menyebabkan kita terlepas pandang kepada perjuangan yang lebih besar.

Sebenarnya, tanpa kita sedar. Kebanyakan dari individu atau NGO sebenarnya SYOK SENDIRI. Merasakan tindakan betul LAGI benar hingga terlupa misi besar.

Asyik berdakwah dari masjid ke masjid, dewan kuliah ke dewan yang lain, dari usrah ke usrah, dari pantai ke pantai yang lain sehingga terlupa TERLALU banyak orang di luar menantikan kehadiran kita membawa risalah Islam. Sekiranya inilah hakikat yang berlaku?.apakah maknanya kewujudan NGO Islam seperti cendawan tumbuh selepas hujan?. Adakah sekadar menghabiskan ratusan ribu peruntukan infaq masyarakat pada Jamaah?...sampai bilakah perkara ini di takuk yang lama?...adakah kita tidak akan mencipta sebuah sejarah seperti USIA di tahun 1969 hingga 1975?...fikir-fikirkanlah…

Monday, March 14, 2011

DISIPLIN ORANG JEPUN

Berdisiplinnya masyarakat jepun. Lihat Sini, Blog Serius

AL KITAB DALAM BAHASA KEBANGSAAN

Sejak seminggu ni saya terpanggil untuk mengulas kenyataan Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) yang mendakwa Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan tidak ada pengharaman kitab injil Dalam Bahasa Melayu.

Kemudian kenyataan Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) disambung pula oleh Pengasas Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Datuk Zaid Ibrahim dengan kenyataan Injil Bahasa Melayu isu bahasa bukan agama, merujuk kepada tajuk entry di blog Malaysiakini.

Sesudah itu, beberapa hari lepas Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek pula membuat kenyataan menggesa kerajaan supaya segera membuat keputusan berhubung penahanan naskah Kitab Injil di dua pelabuhan di negara ini serta menggesa kerajaan memberi kebenaran untuk mencetak Kitab Injil dalam bahasa kebangsaan.

ketiga-tiga kenyataan di atas pada saya sebenarnya adalah kenyataan yang serius bagi penganut Islam. Cuma saya tidak berhajat untuk mengulas panjang kerana tidak mahu menjadikan isu ini bertambah hangat. saya khuatir kenyataan saya akan memberikan bola tanggung pada sesetengah pihak untuk membuat serangan balas. Maklumlah, kenyataan balas boleh saja di ulas dari pelbagai sudut

Apa yang hendak saya katakan di sini. Saya menyerahkan segalanya kepada Kementerian Dalam Negeri dan Mahkamah bagi mengatasi masalah ini. Namun saya sebagai seorang Islam yang memperjuangkan Islam menegaskan bahawa saya TIDAK BERSETUJU dengan ketiga-tiga kenyataan di atas.

Kepada Datuk Zaid Ibrahim ingin saya memberi pendapat bahawa bahasa dan agama adalah ibarat lagu dan irama, keduanya tidak dapat di pisahkan. Niat, akad, sumpah dan beberapa perkara lain dalam Islam sangat berkait rapat dengan bahasa. Ini bererti, terdapat masalah pada bahasa, ia juga adalah masalah agama.

Walaupun Datuk bukan orang PAS, tetapi sebagai seorang Islam, Datuk juga mempunyai tanggungawab untuk membela Islam di muka bumi. Tanggungjawab ini akan ditanya oleh Allah di akhirat kelak. Diharap Datuk akan memperjuangkan Islam pada bidang Datuk dan Saya pula akan memperjuangkan Islam pada bidang saya...InsyaAllah.


Thursday, March 10, 2011

PERKAUMAN DAN KEKITAAN NGO ISLAM

Dakwah dan tabligh adalah kewajipan bagi setiap insan. Tidak kira rupa bangsa, warna kulit dan juga latar belakang, semuanya harus melaksanakannya. Bagi anda yang berada di sekitar Kota Kinabalu dan bandar-bandar besar, anda beruntung kerana tempat anda mempunyai kegiatan dakwah yang cukup pesat. Banyak pertubuhan, badan dan juga gerakan yang boleh disertai sebagai wadah perjuangan.

Dalam gerakan dakwah, antara perkataan yang selalu disebut-sebut adalah berkaitan berpegang kepada tali Allah, kesatuan Islam, kesatuan ummah atau kesatuan dalam berjamaah. Ini adalah senjata utama dalam menggerakkan jentera dakwah secara berkesan.

Banyak sejarah yang telah membuktikan kejayaan usaha dakwah berpunca daripada kesatuan jamaah. Kesatuan jamaah membolehkan segala kerja dilaksanakan dengan terancang dan perlaksanaannya pula agak rapi berkesan.

Namun hakikat sebenar usaha dakwah di Negeri Sabah tidak seperti pernyataan di atas. Mungkin ada dari kalangan rakan-rakan tidak senang dengan kenyataan ini. Tetapi saya tidak berkata kosong,ini adalah berdasarkan analisis peribadi dan diskusi dengan beberapa rakan-rakan penggerak di Kota Kinabalu.

Tujuan kita menjalankan usaha dakwah adalah untuk mencari keredhaan Allah swt dan bergerak atas nama Islam. Namun semua ini hanyalah mainan bicara di kalangan kita semata-mata. Tanpa kita sedar sebenarnya gerakan dakwah kita tidaklah berlandaskan perjuangan Islam sebenarnya, tetapi perjuangan kita adalah atas landasan NGO.

Tanpa disedari perjuangan berlandaskan NGO adalah lebih penting dari perjuangan berlandaskan Islam. Antara bukti kesahihan pernyataan di atas terkandung dalam artikel saya sebelum ini bertajuk “PENGGERAK KITA KURANG BERFIKIR”. Bagaimana dikatakan berlandaskan Islam jikalau perjuangan tersebut disyaratkan harus datang dari pemimpin NGO kita.

Hakikat yang berlaku masakini, kita akan turun kelapangan sehabis baik sekiranya arahan tersebut datangnya dari ketua NGO kita. Sekiranya ia datang dari pemimpin NGO lain, maka kesungguhan dalam berdakwah tidak akan sama seperti arahan yg dikeluarkan oleh pemimpin sendiri walaupun isu yang diperjuangkan adalah isu ISLAM.

Inilah yang terjadi kepada PENULIS dan yang lebih besar lagi CONCERN. NGO yang menganggotai CONCERN adalah NGO yang cukup hebat dan ternama. Tetapi kenapakah CONCERN tidak boleh bangkit setaraf dengan USIA mahupun YADIM?. Ini kerana CONCERN adalah satu badan yang berasingan tubuh dengan NGO-NGO yang menganggotainya. CONCERN bukan sayap pergerakan kepada NGO yang meneyertainya. Kerana itulah pergerakan CONCERN agak perlahan seperti ular berbisa yang menyelinap disebalik gerakan dakwah.

CONCERN tidak mampu menjadi seperti harimau dan singa yang mendongak ke langit dengan kegagahannya. CONCERN tidak mampu mengaum kuat bagi menggerunkan lawannya. Kerana apa?. Kerana CONCERN bukan sebahagian dari kita. CONCERN adalah badan yang ditubuhkan atas dasar kemarahan hangat-hangat tahi ayam dikala darah menyirap bila Islam di badai isu.

Hakikatnya, sekiranya CONCERN adalah sayap pergerakan NGO kita, sudah pasti Abu Bakar tidak perlu sibuk menghadiri mesyuarat di tengah malam dalam keadaan hidung tersumbat kerana demam. Si songkok tinggi tidak perlu bersusah memandu dari Sandakan ke Kota kinabalu untukn menghadiri mesyuarat. Kita sendiri akan menggerakkannya walaupun tanpa kehadiran Hj Sainuri. Jangankan 15 org ahli mesyuarat, seramai hadirin yang menghadiri kuliah Tafsir Maudhu’i pun kita boleh himpunkan, seramai hadirin yang menyertai Discuss Of The Truth pun kita boleh kerahkan, bukankah ini dipanggil Double Standard?.

Suka untuk saya nyatakan, janganlah kita berlagak sombong dengan program yang berlambak-lambak anjuran NGO kita dalam masa yang sama kita tidak boleh duduk sebumbung berkerjasama atas nama Islam untuk sekadar bermesyuarat. Janganlah kita berlagak sombong dengan program kita yang mega sekiranya kita tidak mampu mencukupi korum mesyuarat CONCERN yang sekadar memerlukan 15 orang.

Adakah kita cukup hebat berseminar sana dan sini. Mengulang-ulang seminar yang acap kali dianjurkan dalam masa yang sama segala perancangan CONCERN untuk sedikit permuafakatan Islam tidak boleh terlaksana?. Adakah kita cukup hebat berprogram sana dan sini yang sekadar menghabiskan peruntukan yang ada dalam masa yang sama kita tidak mampu duduk sekadar sejam untuk menulis maklumat penting dalam mesyuarat CONCERN?.

Panggilan pengerusi CONCERN adalah semboyan Islam, semboyan Islam adalah panggilan Allah. Adakah perkara yang lebih penting berbanding semboyan Islam?. CONCERN diibaratkan seperti Cerrier War Ship atau Kapal Perang Pengangkut. Manakala NGO-NGO yang manganggotainya diibaratkan seperti jet-jet pejuang yang bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Kebiasaannya Carrier War Ship adalah medan untuk bermesyuarat, mengaturkan srategi perang, dan membuat segala persiapan perang. Namun yang membuat serangan adalah jet-jet pejuang bagi menghancurkan sesuatu sasaran. Kalaulah jet-jet pejuang tidak bersama-sama dengan kapal pengangkut, dikhuatiri kapal pengangkut akan dibedil musuh hingga musnah ditelan sejarah.

Adakah kenyataan saya salah?. Sekiranya salah, kita harus buktikan kenyataan ini salah. Kita harus bergabung atas nama Islam dan tidak semata-mata atas nama NGO. Sekiranya benar, kita harus perbaiki kesilapan kita, agar gerak kerja dapat dirancang dengan rapi dan memberi kesan yang baik dalam gerakan dakwah di Negeri Sabah. FIKIR-FIKIRKAN…

- CONCERN adalah Majlis Gabungan NGO Sabah yg berpusat di Kota Kinabalu, Sabah.

Rujuk artikal lepas : Klik Sini CONCERN IS A CARRIER WAR SHIP

Wednesday, March 9, 2011

PENGGERAK KITA KURANG BERFIKIR

Baru sebentar tadi saya delete semua isi kandungan blog Pertubuhan Blogger Islam Sabah (PENULIS) di sabahclick.blogspot.com. Saya rasa tidak selesa bila blog PENULIS wujud tetapi tidak pernah ada artikel baru

Seperti yang pernah saya maklumkn, PENULIS adalah pertubuhan yg dalam proses untuk di daftarkan sebagai ruang dakwah di alamaya. Semua ahli di minta untuk melatih diri mewujudkan blog sendiri berfikir mencari isu, membaca serta membuat sedikit kajian dan menulis sekurang-kurangya 1 artikel seminggu. Bererti sebulan ada 4 artikel. Sekiranya penulis ada 50 orang ahli, bererti kita ada 200 artikel sebulan dan 2400 artikel setahun berlegar di ruang maya.

Pada mulanya PENULIS agak aktif mesyuarat dan juga perancangan strategik. Kerana kebanyakan dikalangan penggerak PENULIS adalah penggerak dan pejuang NGO yang aktif di Kota Kinabali. Namun ianya sekadar rancang dan rancang. Ia tidak dapat digerakkan untuk melangkah daripada mesyuarat dan merancang kepada duduk menulis.

Saya tidak pasti apa silapnya, tetapi pada pengamatan saya. Ia mempunyai 2 sebab utama kenapa PENULIS tidak dapat bergerak. Saya dapati sebab yang PERTAMA adalah soal sikap. Sikap penggerak kita, pejuang kita tidak berminat mengasah bakat berfikir dan menulis, tidak berminat dan mungkin juga malas.

Kebanyakan dari kalangan penggerak dan pejuang yang menganggotai PENULIS, hanya duduk dalam gerakan dakwah dan menunggu arahan dari ketua apa yang terbaik dilakukan untuk pembangunan Islam.

Mereka tidak boleh mengerah otak untuk duduk seketika menulis pandangan dan lontaran di benak fikiran mereka. Ia bukan soal tidak pandai menulis ataupun mengarang. Tetapi mereka tidak berminat untuk membiasakan diri dalam bidang penulisan tetapi lebih berminat bercakap, mengkritik dan juga hanya mengomen.

PENULIS sebenarnya telah menjanjikan pada anggotanya untuk dilatih tektik-teknik penulisan, kaedah, perundangan dan sebagainya untuk memantapkan penulisan mereka. Namun kerana masalah sikap mereka yang tidak mahu meletakkn diri dalam bidang berfikir, membaca, mengkaji dan juga menulis membuatkan hasrta PENULIS tidak kesampaian.

Penyebab yang KEDUA adalah PERKAUMAN dan KEKITAAN NGO. Seperti yang saya katakan anggota PENULIS adalah anggota dari NGO yang bergerak aktif di Kota Kinabalu. Daripada risikan yang saya dapati, PERKAUMAN dan KEKITAAN NGO membuatkan hasrat PENULIS berkubur.

Memang wujud dikalangan penggerak-penggerak NGO di Sabah mempunyai sikap PERKAUMAMN dan KEKITAAN NGO. Ia bermaksud, penggerak kita lebih minat bergerak dalam NGO sendiri daripada berkerja dalam satu bumbung dengan rakan NGO yang lain.

Memandangkan PENULIS bukanlah sebahagian dari sayap NGO mereka, membuatkan penulis tidak dipedulikan. Tetapi sekiranya PENULIS diwujudkan sebagai sayap daripada NGO mereka, sudah pasti PENULIS akan diperjuangkan seluruh jiwa dan raga.

Sejujurnya saya amat kecewa kerana PENULIS tidak dapat digerakkan. Lebih-lebih lagi apabila PERKAUMAN dan KEKITAAN NGO adalah punca utama kepada masalah ini. Soal PERKAUMAN dan KEKITAAN NGO ini membolehkan saya berkata “jangan dari kalangan mereka mengatakan soal kesatuan Islam dan kesatuan ummah kepada saya sekiranya mereka masih bersekongkol dengan SYAITAN dalam PERKAUMAN dan KEKITAAN NGO".

Dengan sikap kita yang tidak berminat untuk mengangkat paradigma untuk menguasai bidang-bidang lain di tambah pula PERKAUMAN DAN KEKITAAN. Sesungguhnya gerakan dakwah kita ibarat menuang air ke daun keladi semata-mata. Mungkin juga pahala pun tidak diperolehi malahan dosa bertambah melambak kerana PERKAUMAN dan KEKITAAN…FIKIR-FIKIRKAN….

Tuesday, March 8, 2011

SURAT TERBUKA UNTUK DATO' SERI NAJIB TUN RAZAK

Surat ini dipetik dari laman www.suarafata.blogspot.com

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya, Muhammad Muizzuddin bin Zaini. InsyaALLAH, Julai nanti genaplah umur saya 19 tahun. Masih berbaki lebih kurang 2 tahun, sebelum saya layak mengundi. Tetapi saya yakin, dalam ruang demokrasi, tidak pula mensyaratkan yang saya hendaklah berumur 21 tahun untuk melayakkan surat saya ini dibaca Dato’ Seri.

Dato’ Seri, saya ingin memperkenalkan diri sebagai remaja yang sangat ingin tahu. Keinginan saya ini, menjadikan saya remaja yang tidak hanya terpaku di meja belajar semata. Saya mampu menonton berita hingga ke penghujungnya (tidak di bahagian Sukan semata). Saya juga mampu membaca suratkhabar dari muka depan hingga ke muka akhir. ‘Singgah’ di laman-laman sesawang untuk melihat berita-berita yang tidak tersiar di media arus perdana. Saya juga remaja yang suka meladeni buku-buku yang tidak menjadi kegilaan kebanyakan remaja seusia saya kini.

Tidaklah pula saya katakan, yang saya lebih tahu daripada Dato’ Seri, tidak. Saya cuma mahu tegaskan, saya adalah remaja yang memerhati. Saya adalah remaja yang bukan kerjanya sehari-hari, makan, tidur, ‘menelan’ buku teks semata. Saya adalah remaja yang mengikuti rapat perkembangan-perkembangan semasa negara tercinta ini.

Izinkan saya Dato’ Seri, untuk memberi pandangan saya. Pandangan seorang budak, seorang remaja. Mungkin Dato’ Seri fikir, apalah ada pada seorang remaja seperti saya. Justeru, suka untuk saya ingatkan pada Dato’ Seri yang InsyaALLAH, kelak, kamilah yang akan membuang undi!
Dato’ Seri Najib yang saya hormati, memimpin sebuah negara bukanlah perkara yang mudah. Tidak pernah ia menjadi mudah, tidak boleh ia diambil mudah. Ia adalah persoalan besar dan penting. Persoalan yang diletakkan tinggi di dalam Islam. “Kepimpinan adalah amanah, celaan di dunia, dan penyesalan di akhirat”, begitu sabda Nabi SAW.

DASAR

Saya, yang tohor ilmu dan cetek pengalaman ini, percaya bahawa, setiap tindakan kita adalah bergantung kepada prinsip yang kita letakkan sebagai neraca asas. Bagi sesetengah orang, mereka meletakkan Demokrasi sebagai neraca asas mereka. Ada yang meletakkan kepentingan peribadi, atau kroni, atau Sosialisme, Liberalisme dan sebagainya. Bagi kita, seorang Muslim, neraca asas yang menjadi dasar pertimbangan kita tentulah ISLAM. Izinkan saya bertanya, apakah Asas Utama kepada setiap tindakan Dato’ Seri?

Apakah Islam? Atau Kepentingan diri, atau kroni, atau selainnya?

Maaf Dato’ Seri, kiranya jawapan Dato’ Seri bahawa asas bagi setiap tindakan Dato’ Seri adalah Islam (saya tak pasti jika Dato’ Seri akan memilih jawapan selainnya), maka saya ada beberapa soalan untuk Dato’ Seri.
Saya amat keliru dengan dasar Program Transformasi Ekonomi yang dibawa Dato’ Seri. Apakah ianya dirangka dengan neraca Islam atau selainnya. Justeru, saya mohon penjelasan Dato’ Seri.

Saban hari, saya dan rakan-rakan, menerima berita dari segenap pelusuk negara, samada dekat dengan kami atau jauh, remaja seusia kami yang MENGHILANG! Iya, ‘hilang’ nyawa kerana penggunaan dadah berlebihan atau kerana perlumbaan haram. ‘Hilang’ maruah dan harga diri kerana amalan penzinaan lewat pergaulan bebas. ‘Hilang’ akal kerana ketagihan ekstasi, pil khayal dan arak. ‘Hilang’ kewarasan hingga tergamak membunuh bayi kecil atau ditinggalkan di jalanan untuk menjadi habuan anjing dan hurungan semut. ‘Hilang’ kemampuan untuk menjadi barisan pelapis kepimpinan negara. ‘Hilang’ arah hinggakan nafsu ‘disembah’ sebagai Tuhan! HILANG Dato’ Seri, HILANG!

Saya begitu terkesan pada pesan Saiyidina Ali KWJ, “Lihatlah pada generasi muda, untuk menilai masa depan ummatnya”. Saya tergamam dan jadi takut Dato’ Seri, melihatkan rakan-rakan sebaya yang hanyut. Apakah sebegini hancur dan punahnya masa depan negara tercinta ini!?

PELAN TRANSFORMASI EKONOMI


Program Transformasi Ekonomi anjuran kerajaan pimpinan Dato’ Seri, turut menggariskan perancangan untuk MENJADIKAN MALAYSIA SEBUAH HAB HIBURAN MALAM UNTUK MEMACU INDUSTRI PELANCONGAN. Di atas alasan untuk memperkasa industri pelancongan dan menarik pelancong juga, kerajaan pimpinan Dato’ Seri merancang penubuhan kelab-kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert utama, melonggarkan garis panduan untuk penghibur antarabangsa dan mempakejkan semula acara antarabangsa seperti Formula 1 dan MotoGP.

Kerajaan Dato’ Seri juga mencadangkan penubuhan zon hiburan di Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, Genting Highlands, Pulau Pinang, Langkawi dan Kota Kinabalu bagi menggandakan pendapatan hiburan malam Malaysia kepada RM1.8 bilion menjelang 2020. Penubuhan enam kelab malam baru yang mampu menampung kehadiran 900 pengunjung pada hujung minggu menjelang awal 2012 akan menyusul. Dua lagi akan beroperasi pada 2013 dan 2014.

Maka, menjelang 2014, akan terdapat sekurang-kurang 10 kelab malam di zon hiburan. Rancangannya adalah untuk menghasilkan impak pendapatan kasar negara RM0.7 bilion dan mewujudkan lebih kurang 5,000 pekerjaan baru menjelang 2020. Bagi mencapai hasrat itu, kerajaan Dato’ Seri akan merubah beberapa peraturan hiburan, termasuk membenarkan pelanjutan had waktu beroperasi bagi pusat hiburan malam.

Dato’ Seri juga berhasrat melonggarkan lagi syarat-syarat untuk persembahan artis luar negara. Dan kami telahpun menyaksikan bagaimana, seorang penyanyi gay membuat persembahan, memuaskan nafsu remaja-remaja muda, dengan kebenaran daripada kerajaan Dato’ Seri.

Izinkan saya ulangi soalan saya Dato’ Seri, apakah Islam diletakkan sebagai neraca timbangan waktu Dato’ Seri merangka, membentang dan membahas idea ini? Ataupun Dato’ Seri punya pilihan lain yang Dato’ Seri lebih suka untuk diletakkan sebagai neraca timbangan?

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri, apakah Dato’ Seri penuh sedar, bahawa perancangan Dato’ Seri ini adalah perancangan ‘PEMUSNAHAN’ besar-besaran? Ini bukanlah pelan pembangunan ekonomi, ini adalah pelan ‘PEMUSNAHAN’ berskala besar, yang akan menjadikan rakan-rakan seusia saya, remaja semuda saya atau lebih muda, hancur musnah Akhlaknya, punah-ranah Sahsiahnya.

Iya, Dato’ Seri akan ‘menghancur’ dan ‘membunuh’ pemimpin masa depan, para bijak pandai masa depan. Dengan Dato’ Seri melambakkan pada mereka, hiburan dan keseronokan melampau! Saya dan rakan-rakan, bakal dihidang dengan acara memuas nafsu yang berterusan. Ini akan menatijahkan hanya satu Dato’ Seri, hilang upayanya kami untuk menduduki barisan kepimpinan negara suatu masa nanti. Atau apakah pada pandangan Dato’ Seri, yang kami akan menjadi lebih bijak dan pandai kiranya ‘menelan’ hiburan-hiburan ini?

IFF dan AURAT

Dato’ Seri, seolah-olah saya pernah mendengar Saiyidina Umar al-Khattab menegaskan, “Bahawa adalah kita, ummat yang dimuliakan Allah dengan Islam. Sesiapa yang mencari kemulian selain daripada Allah, maka akan dihina Allah”. Terasa-rasa seperti terdengar SA Umar beritah demikian, kerana ia begitu meresap masuk di hati ini.

Dato’ Seri, saya begitu kecewa dan terkesima jadinya, waktu melihat Dato’ Seri dan isteri, melangkah megah di Festival Fesyen Islam, Monte Carlo tempoh hari. Saya tak dapat mengawal hati, untuk berteriak-teriak marah tatkala melihat gambar pakaian-pakaian yang diperaga atas nama “Kelembutan Islam” (Modesty of Islam), yang dinaungi oleh isteri Dato’ Seri dan pastinya dengan izin Dato’ Seri. Saya dan sahabat-sahabat terpinga-pinga dan tertanya-tanya, apakah ini pemahaman Dato’ Seri dan isteri mengenai pemakaian di dalam Islam?

Saya dan rakan-rakan jadi jelak dan muak Dato’ Seri, maaflah. Waktu Dato’ Seri ‘bertempik’ berikrar untuk mempertahankan Islam dan Melayu, isteri Dato’ Seri tidak pernah berusaha untuk menyahut seruan suaminya sendiri. Isteri Dato’ Seri tidak pernah kelihatan menutup aurat dengan sempurna. Isteri Dato’ Seri berpeluk mesra dengan orang yang haram bersentuhan (bukan mahram) tanpa segan silu di khalayak ramai. Saya tertanya-tanya, apakah Dato’ Seri meredhai perbuatan isteri Dato’ Seri ini?

JUDI

Bukan sedikit kontroversi yang berlaku waktu Dato’ Seri mengumumkan pemberian lesen kepada syarikat-syarikat tertentu untuk mengurus perjudian sukan di Malaysia pertengahan 2010 lalu. Sukar untuk saya agak, apakah harapan Dato’ Seri dengan pemberian lesen-lesen judi ini?

Apakah ini juga satu pelan meningkatkan ekonomi Malaysia? Apakah Dato’ Seri gembira dengan duit yang mencurah masuk, dalam masa yang sama kita melihat betapa hebatnya gejala buruk yang bakal timbul lewat perjudian?

Apakah Dato’ Seri meletakkan neraca BERKAT dan LA’NAT waktu mengemukakan cadangan ini? Apakah Dato’ Seri akan meredhai kiranya rakyat Malaysia memberi sesuap nasi kepada keluarga mereka, daripada wang yang mereka perolehi hasil judi? Apakah budaya yang cuba dibentuk Dato’ Seri sebenarnya?

Apakah keputusan-keputusan ini, ditimbang dengan neraca agama? Atau Dato’ Seri menggunakan neraca lain sebagai ganti?

KEMISKINAN dan HARGA NAIK

Dato’ Seri, orang bangsawan. Keturunan bangsawan. Barangkali, jika tidak jadi Perdana Menteri Malaysia pun, Dato’ Seri tetap akan hidup senang-lenang mewarisi kekayaan. Menteri-menteri Dato’ Seri juga, kaya raya.

Maka, tidak kiralah, jika hari ini minyak naik 10 sen, 20 sen, 50 sen atau Rm 10 sekalipun, Dato’ Seri dan sekalian menteri tidak akan bersusah. Tidak perlu berjerih payah.

Tahukah Dato’ Seri, di celah-celah, ceruk-ceruk kampung atau kota, ada rakyat yang menderita lewat kebejatan ekonomi yang punah hasil ketirisan dan kelemahan pengurusan. Pengurusan yang tidak meletakkan Islam sebagai neraca dan Allah sebagai penilainya, adalah pengurusan yang menghancur!

Dato’ Seri, saban hari saya melihat orang-orang miskin dan kesusahan. Tahukah Dato’ Seri, untuk menyekolahkan anak pun, sudah membuatkan mereka terpaksa membanting tulang, berusaha keras, apatah lagi untuk menghantar mereka ke menara gading (yang PTPTN lebih menghimpit daripada membantu). Kadang-kadang, apabila anak-anak yang bersekolah, meminta wang lebih untuk buku rujukan tambahan, si ibu atau bapa terpaksa menghulur dalam titis air mata. Sudahlah yuran persekolah masih dihutang. Bukan sedikit keringat yang dicurah, demi sesuap rezeki halal untuk anak-anak dan keluarga.

Kerajaan Dato’ Seri jangan terlalu bergantung kepada statistik dan kajian untuk menilai kemampuan rakyat. Selamilah sendiri penderitaan rakyat, yang terseksa dan merana kerana sistem ekonomi yang menyiksa. Setiap kali harga minyak atau keperluan utama naik, meski sekadar 10 sen atau 20 sen, mengalirlah air mata rakyat yang menanggungnya.

Rakyat benar-benar tersiksa sekarang. Janji tinggal janji, janji tidak pernah dipenuhi. Janji itu dan ini, sekadar untuk meraih undi. Waktu berkuasa, kami rakyat sudah dilupai. Tinggal kami, bermatian berusaha keras sendiri.

SUARA RAKYAT

Waktu rakyat turun ke jalanan berdemonstrasi, untuk meluahkan rasa yang terbuku di hati, dan berkongsi pedihnya kehidupan dengan Menteri-menteri yang berkuasa, Dato’ Seri menghantar pada kami, ‘perusuh-perusuh’ yang membantai tulang lemah dan daging kurus kami. Kami dibelasah dan diinjak-injak umpama binatang korban, umpama tak punya maruah. Kami diherdik dan dicaci. Kami disimbah dengan air kimia yang saya yakin, Dato’ Seri sendiri tidak pernah rasai pedih dan peritnya.

Dan menteri-menteri Dato’ Seri, tanpa rasa bersalah, menggelarkan kami sebagai perusuh yang cuba menggugat keselamatan negara, beruk-beruk di jalanan yang cuba menarik perhatian.. kalaulah mereka yang menuduh melulu itu, memahami pedihnya hati ini.

Semuanya adalah kerana, kami rakyat, cuba untuk berkongsi rasa dengan pimpinan negara. Sudahlah pilihanraya dijalankan dalam keadaan penuh keraguan dan ketidakadilan, ruang media yang disekat, tangan dan kaki kami rakyat diikat, maka ruang kecil untuk bersuara di jalanan inilah, ruang untuk kami menyampaikan rasa pada pemerintah dan pemimpin kami. Sekadar ruang kecil untuk kami bercerita dan berkongsi, betapa peritnya kehidupan yang kami rakyat lalui.

Pernahkah Dato’ Seri pedulikan suara kami? Pernahkan selain daripada tarikh pilihanraya Dato’ Seri menjadi begitu cakna pada kami? Pernahkah waktu pandangan rakyat yang tidak menguntungkan Dato’ Seri diambil peduli? Pernahkah Dato’ Seri?

Dato’ Seri bertindak sungguh responsif setiap kali adanya himpunan-himpunan rakyat.Melalui Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Dato’ Seri memastikan kami rakyat yang berhimpun tidak akan berjaya berhimpun dengan aman dan baik. Media dibawah kawalan Dato’ Seri juga menggunakan segala maklumat yang ada untuk memburuk-burukkan kami. Ulama’-ulama’ yang bernaung di bawah Dato’ Seri juga menggali hujah-hujah agama demi membuktikan tindakan kami bersuara, adalah bercanggah pada sisi agama.

Dato’ Seri, saya sungguh kecewa dengan setiap tindakan ini. Bukankah perhimpunan anjuran Dato’ Seri, pada setiap malam menunggu detik Kemerdekaan dan Awal Tahun Baru, ribuan malahan mungkin ratusan ribu rakyat termasuk golongan muda-mudi datang menyertai. Akhbar arus perdana jugalah yang melaporkan tangkapan demi tangkapan kerana berkhalwat, kerana dadah, kerana berkelakuan tidak sopan pada setiap kali sambutan-sambutan anjuran Dato’ Seri. Apakah pernah himpunan rakyat membantah ketidakadilan dan mahukan sedikit keadilan, pernah menjadi sebab untuk anak-anak muda ditangkap khalwat?

Dan pernahkah Ulama’-ulama’ muda yang bernaung di bawah Dato’ Seri itu menegur Dato’ Seri kerana program jamuan nafsu tersebut. Tetapi menegur himpunan rakyat yang bersuara, sebagai Bughah (derhaka) dan menuju Maksiat!?

REFORMASI

Saya dan juga rakan-rakan, adalah remaja muda yang punya sikap. Punya pendirian. Kami berazam, untuk mengubah keadaan ini Dato’ Seri. Kami berazam dan bertekad, seluruh diri kami akan diperguna untuk memperbaiki keadaan punah ini.

Kaedah merubah itu 2 Dato’ Seri. Pertama, nasihat agar berubah. Kedua, kira gagal, UBAH sendiri. Nasihat sudah saya berikan. Pandangan sudah saya sampaikan. Rakyat lain juga begitu, isyarat sudah mereka sampaikan.

Jika sampai masanya, untuk kami membuat pilihan, dan keadaan tidak lagi pulih, percayalah Dato’ Seri, kami sudah membuat pilihan sekarang untuk siapa yang layak menerima undi kami nanti.

Tidak cukup dengan itu, saya dan rakan-rakan, kami adalah remaja muda yang penuh tenaga dan kekuatan. Kami akan gerakkan massa suatu hari nanti. Agar pentadbiran, pengurusan, pemerintahan, kewangan dan sistem kehidupan yang meletakkan Islam, Keadilan, Kesejahteraan, Keamanan sebagai asas, akan mendapat tempat tertinggi di negara ini.

Dato’ Seri, saya tidak mengancam. Tidak pula mengugut. Saya mengingatkan. Kerana inilah tanggungjawab saya sebagai Mu’min. Bukankah sesama Mu’min itu bersaudara?

Dato’ Seri, mungkin surat ini akan sampai kepada pengetahuan Dato’ Seri, mungkin juga tidak. Kiranya ia sampai ke pengetahuan Dato’ Seri, saya dahulukan dengan permohonan maaf, kerana mungkin ada kesilapan saya. Maklumlah, saya remaja muda, mungkin ada silap dan salah pada gerak langkahnya. Saya juga berterima kasih, iyalah, orang sesibuk Dato’ Seri meluangkan masa untuk mengambil perhatian pada surat saya ini, itu adalah satu penghormatan buat remaja seperti saya.

Namun Dato’ Seri, kiranya ada pada surat ini, ataupun tindakan-tindakan remaja muda seperti kami ini yang mungkin lantang menyatakan pendirian, hingga mungkin Dato’ Seri terguris hati, kami tidak memohon maaf untuk itu. Kerana Dato’ Seri, INI MEMANG ADALAH PENCAK KAMI!

Sekian, terima kasih.

Yang benar,
Muhammad Muizzuddin Bin Zaini
Design by Abdul Munir
Visit Original Post Tas Murah Template