Wednesday, October 19, 2011

ANTARA FIKRAH DAN UKHWAH

Fikrah dan ukhwah adalah perkataan bahasa arab yang sering digunakan dalam kehidupan seharian. Fikrah bermaksud “Pemikiran” atau dalam bahasa inggerisnya di sebut sebagai “Mindset”. Ukhwah pula bermaksud persaudaraan diantara umat Islam, yang tidak terpecah belah, seperti sekujur badan, satu sakit yang lain juga merasakan sakit.

Islam telah berkembang atas fiqrah Islam umat terdahulu dan atas ukhwah mereka dalam mengembangkan syiar Islam. Masa silih masa, hari silih hari, bulan silih bulan dan tahun silih tahun. Fikrah Islam telah berkembang seiring berkembangnya jumlah umat manusia. Setelah tahun bersilih tahun, abad bersilih abad maka fikrah Islam mangkin berkembang dan berkembang.

Kebanyakan fikrah terpecah berpunca daripada perpecahan umat terdahulu, tidak setuju dengan cara pemimpin atau rakan-rakan mereka. Maka berlaku perpecahan dengan mewujudkan fikrah yang dirasakan benar. Hingga saat ini fikrah Islam telah bercambah-cambah dengan fikrah yang sebenar dan tidak kurang juga fikrah yang tersasar dari landasan kebenaran. Fikrahnya nampak berlandaskan Islam, sekali pandang nampak benar, tp bila diteliti sungguh-sungguh rupanya ia telah keluar dari landasan dan menggunakan laluan sendiri bagi mencapai misi sebenar.

Masakini zaman teknologi IT, dunia tanpa sempadan, kebebasan bersuara telah memberi laluan besar kepada fikrah Islam berkembang sekaligus fikrah seleweng juga berkembang seiring. Pelbagai fikrah dan kaedah menuju kepada Allah telah di utarakan, tidak kurang juga sesetengah pihak menyatakan fikrah mereka sahaja yang benar. Ada dialog yang menyatakan “dia tak faham fikrah kita”. Ada yang lebih dasyat menyatakan “Fikrah mereka tak betul” dan mengkafirkan fikrah orang lain.

Persoalannya disini, adakah besar sangat perjuangan fikrah ini hingga membelakangi ukhwah Islam?. Masakini wujud perbincangan, perbalahan dan pergaduhan dalam penyebaran fikrah yang dianggap sebagai fikrah Islam. Berdebat dan berbahas siang hingga malam. Membincangkan soal-soal yang hanya sekadar cabang-cabang dalam Islam. Ramai yang membincangkan soal fikrah Islam hingga mengenepikan ukhwah Islam. Atas nama fikrah perjuangan sesetengah dari kita sanggup menghancurkan ukhwah Islam. Sedangkan ukhwah Islam itu wajib di pertahankan dan ancaman berat kepada mereka yang merosakkannya.

Ramai dari kalangan pejuang-pejuang agama yang selalu memperlekehkan fikrah orang lain. Selalu merasakan fikrah orang lain tak betul, tak cukup kemas, dan kononya telah dimasuki fikrah barat. Sedangkan itu semua hanyalah tuduhan-tuduhan liar. Sebenarnya memadailah bagi seorang Islam faham akan aqidah, syariat Islam dan beramal dengannya disamping terus belajar hari ke hari untuk memahami Islam itu secara syumul. Namun dengan kaedah menyebarluaskan fikrah sendiri hingga membelakangi ukhwah rasanya ia bukanlah satu perkara yang betul. Malah ia akan menambahkan kerosakan dan perpecahan dalam Islam…Fikir-fikirkanlah…

Saturday, October 15, 2011

AMALAN ANTARA IKHLAS DAN RIAK

Kita sering melihat masyarakat Islam sekitar kita yang mempunyai amalan agak luar biasa dari kebiasaan. Ia amalan yang tidak seperti masyarakat kebanyakan lakukan. Ia seperti ada pembawaan ilmu dari guru, seperti mengikuti sebarang tarikat, mempunyai sebarang baiah. Perkara-perkara ini yang memungkinkan amalan tersebut menjadi amalan yang luar biasa.

Biasanya amalan-amalan ini adalah amalan yang bukan fardhu tetapi nampak seolah-olah wajib pada orang-orang yang mengamalkannya. Kebiasaannya ia melibatkan amalan solat sunat dengan banyak bilangan rakaatnya dan juga zikir dengan bilangan yang banyak. Tidak kurang juga mereka yang pantang angkat tangan berdoa, akan menangis bersungguh-sungguh kesedihan.

Kebiasaannya amalan2 ini akan di lakukan tanpa mengira tempat, keadaan, suasana dan masa. Sehingga wujud kehairanan di kalangan masyarakat sekitarnya melihat amalan-amalan sedemikian rupa. Berbagai cara, feel dan gaya badan dalam pengamalan tersebut. Ada yang solat nampak seolah khusyuk sangat, ada yang sambil lewa, ada yang solat seperti patuk ayam dan berbagai-bagai lagi.

Bagi yang ahli zikir pula, berbagai-bagai gelagat yang mereka tampilkan. Ada yang zikir dengan penuh khusyuk, ada yang zikir dengan gerak perlahan, ada yang gerak badannya laju. Ada yang nada suaranya kuat, ada yang bersuara kuat di tambah dengan kelajuan TURBO hingga tidak difahami apa sebenarnya yang dilafazkan.

Namun saya bukan hendak menyalahkan perkara-perkara begini. Cuma mungkin kejadian-kejadian begini boleh kita ambil iktibar bahawa perlaksanaan begini memerlukan satu kefahaman kaedah dan pendekatan yang lebih sempurna, agar kita dapat beramal dengan kesempurnaan.

Tidak dapat dinafikan bahawa situasi yang di sebut di atas memang banyak berlaku. Tidak kira samada di bandar besar mahupun di desa-desa. Perkara sebegini berlaku hingga wujud segelintir masyarakat umum yang tidak selesa dengan keadaan ini. Ditambah pula dengan pendekatan sesetengah pengamal yang memaksa masyarakat sekitarnya untuk beramal seperti mereka hingga berlaku perbalahan dan pergaduhan sesama Islam.

Saya secara peribadi tidak menyalahkan amalan-amalan sebegini, orang berzikir, bersolat takkanlah itu boleh dikatakan salah?..mereka akan masuk Neraka?..mungkin itu tuduhan yang melampau. Namun perlu disedari bahawa bukan semua amalan di sekitar kita betul cara pelaksanaannya. Ada juga amalan yang nampak baik, tp cara pelaksanaannya tidak menepati kehendak syariat. Amalan-amalan sebegini sebenarnya telah meletakkan diri pengamalnya diantara keikhlasan dan juga riak. Sekiranya ikhlas, Alhamdulillah selamat, namun jika tercebis sedikit riak atas amalan tersebut, ia akan membinasakan pengamalnya di akhirat kelak.

Sebenarnya amalan solat dengan rakaat yang banyak, zikir hingga mencecah ribuan zikir, berdoa sambil menangis-nangis di depan-depan masyarakat sekitarnya tidaklah memberikan makna yang besar pada pengamalnya, ia bukanlah penanda aras keikhlasan seseorang. Kerana, hanya mereka yang benar-benar kuat dan ikhlas sahaja yang pasti selamat di akhirat kelak. Bagi yang tidak cukup kuat, pastinya cebisan riak akan wujud dan akan membinasakan diri pegamalnya. Amalan di khalayak ramai ini, kebiasaannya 9 dari 10 org boleh melakukannya dengan amalan yang luarbiasa, hebat, alim dan kuat beramal. Ini kerana amalan kita akan di lihat orang akan mendorong untuk kita beramal dengan amalan yang luar biasa.

Namun sekiranya pengamalnya benar-benar ikhlas atas amalan tersebut, sebaiknya amalan tersebut di lakukan di mana semua orang telah lena dengan mimpi. Tanpa seorang pun melihat mengamalnya, ia bangkit dengan bersolat sunat dari malan hingga ke subuh, berzikir sebanyak-banyaknya dan menangis semahu-mahunya kerana takut pada Allah swt. Sekiranya ini boleh berlaku, benarlah amalannya itu adalah amalan yang ikhlas, amalan yang hanya dirinya dan Allah sahaja yang tahu…Namun amalan di khalayak ramai, akan menimbulkan fitnah dan rasa sangsi di kalangan masyarakat sejauh mana keikhlasannya beramal kerana Allah swt. Fikir-fikirkan… J

Sunday, October 9, 2011

DISIPLIN ILMU

Ilmu adalah perkara yang sangat penting dlm kehidupan seseorang manusia. Ilmu akan memberikan manfaat pengetahuan, lebih-lebih lagi bagi yang beriman. Menuntut Ilmu adalah wajib bagi setiap org Islam. Rasulullah saw bersabda bahawa “ menuntut ilmu itu wajib bagi setiap muslim”.

Rasulullah s.a.w. ada bersabda lagi yang maksudnya,Sesiapa yang mahukan kejayaan di dunia, mestilah dengan ilmu (agama), jika dia mahu kejayaan di akhirat juga mestilah dengan ilmu, dan jika mahu kedua-duanya sekali mestilah dengan ilmu”.

Namun ilmu juga boleh membinasakan seseorang sekiranya ia tidak di pelajari dengan kaedah yang betul. Ramai orang-orang di sekeliling kita yang telah tersasar dari laluan sebenar kerana tidak mengikuti disiplin ilmu yang sebenar. Kebiasaannya ia akan berlaku kerana menunutut ilmu dengan tidak berguru, hanya sekadar membaca buku, blog, fb, majalah dan lain-lain sumber. Keadaan sebegini akan mengakibatkan seseorang muslim tersasar dari laluan sebenar hingga berlakunya kesesatan, menyesatkan dan menimbulkan fitnah.

Pada zaman moden ini, disiplin ilmu tidak lagi di jaga. Para guru tidak lagi di hormati, para ulama’ di perlekehkan, di caci dan di maki. Menuntut ilmu tidak lagi mengikut peringkat-peringat sepatutnya. Kerana itu, masyarakat Islam terus ketinggalan dalam memahami Islam pada sudut pandang yang betul.

Saya teringat kata-kata Ust Zamihan mat Zin Al-Ghari bahawa ilmu itu wajib di tuntut dengan mematuhi segala disiplin ilmu agar ia terpandu ke jalan yang benar. Seseorang muslim perlu bermula dengan memahami hal-hal berkaitan aqidah agar kita benar-benar kenal akan Allah swt, seterusnya perlu memahami hal-hal berkaitan syariah agar kita benar-benar mengamalkan segala ajaran Islam seperti yang dikehendaki Allah dan RasulNya.

Seterusnya, apabila kita telah memahami tentang aqidah dan syariat, maka sebaiknya kita memahami tentang ilmu tasawwuf agar kita terpandu untuk mengamalkan Islam dengan hati suci bersih dan menjauhkan diri dari segala penyakit-penyakit hati. Seterusnya tariqat adalah satu lagi bidang ilmu yang perlu di fahami setelah 3 ilmu di atas betul-betul di fahami.

Namun hakikat masyarakat masakini, ramai yang tidak berminat untuk memahami ilmu aqidah dan syariat dengan kefahaman yang sebenar. Masyarakat Islam masakini lebih minat untuk terus mempelajari ilmu tasawwuf dan juga tariqat dengan tidak begitu memahami ilmu aqidah dan syariat. Rasa seronok dan merasakan diri benar-benar Islam dengan pakaian jubah, berserban dan tasbih di tangan membuatkan ramai yang terlupa akan tuntutan aqidah dan syariah.

Apabila Tasawwuf dan Tariqat di pelajari tanpa mempunyai kefahaman yang betul tentang aqidah dan syariat. Maka di sinilah bermulanya bibit-bibit penyakit hati sesama Islam apabila tariqat kita dan fahaman kita tidak di terima pakai oleh orang-orang sekeliling. Maka, berlakulah berdebatan, bertengkaran, perbalahan dalam menegakkan fahaman sendiri. Tidak kurang juga wujud orang yang lebih ilmu tariqatnya, pakaiannya Nampak hebat, zikirnya nampak banyak namun bila berbicara soal aqidah dan syariah, terzahir kebodohannya dalam mengamalkan Islam.

Mungkin kita pernah dengar kata-kata bahawa beramal tanpa ilmu itu di namakan gila, berilmu tanpa beramal pula di gelar sebagai fasiq manakala bertariqat tanpa syariat pula di gelar sebagai zindiq (berpura-pura Islam). Atas maksud itu, rasanya ada baiknya kita bermuhasabah diri agar kita tidak tergolong dari golongan yang tiga ini.. Semoga kita menjadi seorang muslim yang mengamalkan Islam kerana Allah swt dengan mengikuti cara Rasulullah saw.

Rasulullah saw pada penghujung hayatnya pernah memanggil menantu merangkap sepupu baginda iaitu Sayidina Ali bin Abi Talib. Baginda mewasiatkan kepaanya “Wahai Ali, jika berlalu di kalangan orang Islam 40 hari (sahaja), mereka tidak hadir dan duduk dalam majlis ilmu (fardhu ‘Ain), maka orang itu akan menghadapi dua keburukan. Pertama, hatinya menjadi keras (sukar menerima petunjuk Allah atau segala kebaikan) dan kedua berani pula melakukan dosa-dosa besar”, Fikir-fikirkan….:)

Design by Abdul Munir
Visit Original Post Tas Murah Template