Sunday, December 29, 2013

IBUBAPA LEPAS TANGGUNGJAWAB JAGA ANAK



Anak-anak yang dikatakan sebagai anak rosak akhlak biasanya di tempatkan di Pusat Pemulihan Akhlak untuk tempoh tertentu atau tinggal di kampung masing-masing dengan perlu menjalankan Khidmat Masyarakat atas Perintah Mahkamah untuk satu-satu jangka masa yang ditetapkan oleh Mahkamah.


Pertama kali saya bersua dengan anak-anak ini  saya agak hairan dengan tingkahlaku mereka, terutama sekali peserta wanita. Nampak pada wajah mereka, mereka ni sebenarnya anak-anak yang baik. Punya akhlak baik dan juga berkeperibadian baik. Selama saya dan rakan-rakan menguruskan mereka juga tidak ada sebarang masalah, mereka patuh dan taat dengan setiap arahan yang diberi. Mereka berbahasa dengan baik juga berkomunikasi dengan penuh hormat.


Mereka mendapat perintah mahkamah atas pelbagai kesalahan jenayah. Antaranya seperti, mencuri, menikam, meragut, bergaduh berkumpulan, mempunyai senjata dibadan semasa ditangkap seperti, pisau, samurai, buku lima dan lain. Ada juga yang mendapat perintah mahkamah atas permintaan ibubapa sendiri, terutamanya anak-anak perempuan. Mejoriti mereka adalah atas permintaan ibubapa. Mungkin kegagalan sistem pengurusan rumahtangga, anak menjadi liar dan tidak terkawal, ibubapa telah memilih Rumah Pemulihan Akhlak sebagai tempat untuk lari dari tanggungjawab mendidik dan menjaga anak-anak ini.

Sumber yang kita perolehi, kebanyakkan Rumah Pemulihan Akhlak bukanlah sebuah pemulihan yang sebenar. Malah ia adalah sebuah pengumpulan anak-anak nakal yang menghimpunkan semua pesalah juvana dengan tanpa sebarang modul pemulihan akhlak yang holistik. Mereka duduk dalam Rumah Pemulihan Akhlak hanya duduk, tinggal dan makan sekadar menghabiskan tempoh perintah tahanan mereka selesai. Kita akui memang ada modul-modul telah disediakan untuk anak-anak ini, namun ianya lebih kepada kemahiran dan pengisian jasmani semata-mata tanpa ada pengisian rohani.

Bagaimana ibubapa yang mempunyai anak-anak bermasalah di rumah, liar, keluar rumah tidak balik-balik, tidak mahu sekolah dn belajar, asyik bergaduh dengan keluarga memilih Rumah Pemulihan Akhlak  sebagai tempat untuk anak- anak ini belajar erti sebuah kehidupan. Tidakkah ibubapa tersebut terfikir akan kesan risiko dari tindakan mereka. Anak yang hanya sekadar melakukan kesalahan rumah, kesalahan yang cuma sekadar tidak bersesuaian dengan rasa hati kita, anak-anak tersebut di hantar duduk tinggal bersama penjenayah-penjenayah juvana di Pusat Pemulihan Akhlak?. Tidakkah ini lebih mendedahkan anak-anak tersebut kepada ilmu-ilmu dan sikap jenayah juvana yang lebih besar?.

Rasulullah saw bersabda   “Setiap kelahiran (anak kecil)dilahirkan dalam keadaan fitrah, ibubapalah yang menentukan dia menjadi Yahudi, Nasrani ataupun Majusi.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Saya beranggapan, ibubapa yang menghantar anak ke Rumah Pemulihan Akhlak adalah kesalahan berganda mereka dalam melaksanakan amanah yang Allah berikan. Masih banyak lagi sekolah-sekolah yang berteraskan pengisian rohani dan pembersihan jiwa. Banyak sekolah-sekolah pondok, madrasah atau sekadar sekolah agama yang boleh menyelesaikan masalah ini. Bagi yang non muslim mereka masih ada pilihan untuk ke sekolah-sekolah misionari, sekolah-sekolah rumah ibadat dan lain-lain. Tapi kenapa Rumah Pemulihan Akhlak yang jadi pilihan.

Pada saya, bagi anak-anak yang melakukan jenayah, ditangkap dan ditempatkan di Rumah Pemulihan Akhlak atas Perintah Mahkamah, apa boleh buat la, kita tidak berdaya untuk itu. Tapi bagi anak-anak yang punya masalah di rumah, saya fikir Rumah Pemulihan Akhlak adalah tempat yang salah untuk menempatkan anak-anak di sana. Bila kita selidik anak-anak ini, mereka ini adalah dari kalangan keluarga berkerjaya, jurutera, pegawai-pegawai yang sibuk dan tidak ada masa untuk mereka.

Kesihan anak-anak ini, kenapa ibubapa mereka membuat keputusan sedangkal itu. Marilah kita berpesan-pesan sesama  kia agar tidak mengikut jejak langkah ibubapa dalam kisah ini. Kesihan kesihan kesihan… marilah kita doakan mereka mendapat hidayah dan anak-anak ini selamat dari tindakan dangkal ibubapa mereka :)






SABAH BERPOTENSI PELOPOR INDUSTRI TERNAKAN KAMBING KOMERSIAL


Alhamdulillah, sejak akhir tahun 2012 saya telah menceburkan diri dalam bidang industri ternakan kambing sepenuh masa. Sebuah industri berberkapasiti tinggi dan mempunyai peluang yang luas untuk diperkembangkan. Industri yang sedang berkembang di negara-negara maju seperti Australia dan New Zeland. Industri yang perlu memenuhi permintaan negara dengan keperluan 200,000 tan setahun berbanding kapasiti semasa lebih kurang 100,000 tan setahun.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa Negeri Sabah telah diiktiraf oleh OIE (World Organisation for Animal Health)  sebagai bebas daripada penyakit FMD. Negeri Sabah juga bebas dari penyakit ternakan merbahaya seperti FMD, Highly Pathogenic Avian Influenza (HPAI), Rabies, Rinderpest, Anthrax, Bovine Spongiform Encepphalopathy dan Nipah Virus.

Makanya Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak tidak membenarkan ternakan seperti, lembu, kambing dan kerbau di bawa masuk sesuka hati tanpa melalui prosedur yang betul bagi mengawal sebarang penularan wabak virus dari negara luar masuk ke Negeri Sabah. Negeri Sabah hanya membenarkan ternakan hidup masuk hanya dari Australia dan New Zeleand dengan melalui prosedur yang telah digariskan.  Namun begitu, ternakan Negeri Sabah boleh di eksport kemana sahaja negara seluruh dunia sekiranya ada permintaan.


Ini jelas menunjukkan Negeri Sabah sebuah negeri yang berpotensi untuk menjadi pengeksport utama haiwan ternakkan sehebat dengan Australia dan New Zeleand  sekiranya ia di rancang dan di susun atur sebaik mungkin. Dengan aset tanah yang luas, dengan cuaca yang baik, permandangan yang menghijau pasti ianya boleh direalisasikan daripada sebuah harapan di masa akan datang.

Saya menyeru kepada rakan-rakan yang sedang berada dalam industri ini untuk terus maju menuju kejayaan tanpa telalu memikirkan soal rintangan di hadapan. Kita hadapi bersama perjuangan industri ini  agar ia menjadi sebuah industri yang boleh diwarisi oleh anak cucu kita. Kepada pembaca yang baru hendak berjinak-jinak dengan industri ternakan, anda dipersilakan bersama-sama kami menjadi usahawan ternak untuk di jadikan sebagai satu tanggungjawab fardhu kifayah sambil mencari kehidupan sambil juga beramal memudahkan urusan orang-orang yang hendak melakukan ibadah J

Saturday, February 23, 2013

MENIKAHI MUALAF



Semalam sedang saya memberi makan kambing di ladang, saya menerima mesej dari seseorang yang bertanyakan tentang apakah boleh seorang muslim menikahi seorang wanita mualaf tanpa pengetahuan keluarganya. Mesejnya berbunyi

“Assalamualaikum Ust, Saya nak tanya kalau kita nak bernikah dengan pasangan non muslim, bolehkah dilangsungkan dengan tanpa pengetahuan keluarganya setelah dia memeluk Islam?”

“Dia tiada adik beradik yg muslim, memang bolehkan ust, sebab wali bukan lagi bapanya yg non muslim?”

Untuk menjawab mesej ini, saya duduk berfikir di muka pintu kandang bagaimana nak menjawab soalan sebegini. Memang secara asasnya pernikahan tersebut sah tanpa pengetahuan pihak keluarga si wanita asal sahaja dia berwalikan Hakim. Asal sahaja si lelaki dan si wanita cukup syaratnya, dapat wali hakim dan kebenaran nikah, kira tidak ada masalah la tu. 

Tinggal lagi saya terfikir bagaimana kesannya pada Islam. Pastinya keluarga si wanita akan marah pada Islam kerana punya undang-undang sebegini. Punya undang-undang yang membolehkan pernikahan tanpa restu atau kebenaran orang tua si wanita. Apa kesannya pada pernikahan tersebut setelah keluarga si wanita mengetahuinya. Apakah pasangan ini boleh hidup bahagia?. Seribu satu persoalan timbul di benak fikiran saya.


Namun yang lebih saya fikirkan adalah kesannya terhadap Islam yang menggambarkan Islam tidak punya adab dan kesopanan. Menggambarkan Islam membenarkan umatnya membawa lari anak orang dan menikahinya tanpa pengetahuan keluarga. Jika isu ini benar-benar berlaku, ia membuatkan hati org tua si wanita akan sakit dan 1001 gambaran juga penafsiran negetif terhadap Islam akan timbul. Hati org tua mana tidak sakit bila dapat tahu anaknya dikahwini orang tanpa pengetahuannya dan tanpa berdaya melakukan sesuatu.

Perkara-perkara sebeini akan memberikan kesan yang besar kepada kelangsungan dakwah pada non muslim. Islam akan dipandang sinis. Islam akan dipandang dengan pandangan kemarahan. Kemarahan yang mungkin bertunjang di hati keluarga si wanita untuk satu tempoh masa yang lama. Apakah ini yang dikehendaki oleh Islam. Apakah ini yang disuruh oleh Al-Quran dan As-Sunnah?.

Walaupun pernikahan ini SAH tanpa pegetahuan keluarga si Wanita. Namun adalah LEBIH BAIK ianya berlangsung dengan pengetahuan keluarga si wanita. Sekiranya keluarga si wanita tidak mengizinkan, perlulah diusahakan sehingga diizinkan dengan cara rundikan, pujukan dan lain-lain. Perkara ini memang susah untuk diatasi. Namun pepatah menyebut, kalau takutkan ombak, jangan berumah di tepi pantai.



Akhirnya saya jawab mesej tersebut dengan ayat sebegini

“Secara asasnya pernikahan begini SAH dengan berwalikan Hakim, permohonan harus melalui Mahkamah. Namun begitu sebaiknya atur la baik-baik dengan keluarga si perempuan agar tidak masalah di kemudian hari”

Wallahu A’alam.

Saturday, January 19, 2013

SALAM 2013


Assalamualaikum Wr Wb....

Setelah lebih 6 bulan saya tidak menulis sebarang artikel. Tiba-tiba hari ini terdetik hati dan punya kekuatan untuk membuat sedikit coretan kali pertama untuk tahun 2013. Rasanya masih belum terlambat untuk saya ucapkan selamat tahun baru 2013. Semoga di tahun ini, kita akan mendapat banyak kebaikan lebih baik dari tahun 2012.

Saya mengharapkan agar saya dapat kekuatan dan kerajinan untuk memberi ruang masa membuat sedikit perkongsian di laman ini. Semoga dengan adanya kemudahan sebegini, akan memberikan manfaat yang maksima buat perjuangan gerakan Islam... InsyaAllah.

Mohon juga doa dari rakan-rakan agar saya lebih kuat dan gigih dalam membuat penulisan hal-hal bermanfaat berkaitan ilmu, isu semasa dan sebarang info. Harapnya, dengan usaha kita sekecil ini, akan menjadi asbab untuk Allah memasukkan kita ke dalam Syurga Allah swt... Amin....
Design by Abdul Munir
Visit Original Post Tas Murah Template