Sunday, December 29, 2013

IBUBAPA LEPAS TANGGUNGJAWAB JAGA ANAK



Anak-anak yang dikatakan sebagai anak rosak akhlak biasanya di tempatkan di Pusat Pemulihan Akhlak untuk tempoh tertentu atau tinggal di kampung masing-masing dengan perlu menjalankan Khidmat Masyarakat atas Perintah Mahkamah untuk satu-satu jangka masa yang ditetapkan oleh Mahkamah.


Pertama kali saya bersua dengan anak-anak ini  saya agak hairan dengan tingkahlaku mereka, terutama sekali peserta wanita. Nampak pada wajah mereka, mereka ni sebenarnya anak-anak yang baik. Punya akhlak baik dan juga berkeperibadian baik. Selama saya dan rakan-rakan menguruskan mereka juga tidak ada sebarang masalah, mereka patuh dan taat dengan setiap arahan yang diberi. Mereka berbahasa dengan baik juga berkomunikasi dengan penuh hormat.


Mereka mendapat perintah mahkamah atas pelbagai kesalahan jenayah. Antaranya seperti, mencuri, menikam, meragut, bergaduh berkumpulan, mempunyai senjata dibadan semasa ditangkap seperti, pisau, samurai, buku lima dan lain. Ada juga yang mendapat perintah mahkamah atas permintaan ibubapa sendiri, terutamanya anak-anak perempuan. Mejoriti mereka adalah atas permintaan ibubapa. Mungkin kegagalan sistem pengurusan rumahtangga, anak menjadi liar dan tidak terkawal, ibubapa telah memilih Rumah Pemulihan Akhlak sebagai tempat untuk lari dari tanggungjawab mendidik dan menjaga anak-anak ini.

Sumber yang kita perolehi, kebanyakkan Rumah Pemulihan Akhlak bukanlah sebuah pemulihan yang sebenar. Malah ia adalah sebuah pengumpulan anak-anak nakal yang menghimpunkan semua pesalah juvana dengan tanpa sebarang modul pemulihan akhlak yang holistik. Mereka duduk dalam Rumah Pemulihan Akhlak hanya duduk, tinggal dan makan sekadar menghabiskan tempoh perintah tahanan mereka selesai. Kita akui memang ada modul-modul telah disediakan untuk anak-anak ini, namun ianya lebih kepada kemahiran dan pengisian jasmani semata-mata tanpa ada pengisian rohani.

Bagaimana ibubapa yang mempunyai anak-anak bermasalah di rumah, liar, keluar rumah tidak balik-balik, tidak mahu sekolah dn belajar, asyik bergaduh dengan keluarga memilih Rumah Pemulihan Akhlak  sebagai tempat untuk anak- anak ini belajar erti sebuah kehidupan. Tidakkah ibubapa tersebut terfikir akan kesan risiko dari tindakan mereka. Anak yang hanya sekadar melakukan kesalahan rumah, kesalahan yang cuma sekadar tidak bersesuaian dengan rasa hati kita, anak-anak tersebut di hantar duduk tinggal bersama penjenayah-penjenayah juvana di Pusat Pemulihan Akhlak?. Tidakkah ini lebih mendedahkan anak-anak tersebut kepada ilmu-ilmu dan sikap jenayah juvana yang lebih besar?.

Rasulullah saw bersabda   “Setiap kelahiran (anak kecil)dilahirkan dalam keadaan fitrah, ibubapalah yang menentukan dia menjadi Yahudi, Nasrani ataupun Majusi.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Saya beranggapan, ibubapa yang menghantar anak ke Rumah Pemulihan Akhlak adalah kesalahan berganda mereka dalam melaksanakan amanah yang Allah berikan. Masih banyak lagi sekolah-sekolah yang berteraskan pengisian rohani dan pembersihan jiwa. Banyak sekolah-sekolah pondok, madrasah atau sekadar sekolah agama yang boleh menyelesaikan masalah ini. Bagi yang non muslim mereka masih ada pilihan untuk ke sekolah-sekolah misionari, sekolah-sekolah rumah ibadat dan lain-lain. Tapi kenapa Rumah Pemulihan Akhlak yang jadi pilihan.

Pada saya, bagi anak-anak yang melakukan jenayah, ditangkap dan ditempatkan di Rumah Pemulihan Akhlak atas Perintah Mahkamah, apa boleh buat la, kita tidak berdaya untuk itu. Tapi bagi anak-anak yang punya masalah di rumah, saya fikir Rumah Pemulihan Akhlak adalah tempat yang salah untuk menempatkan anak-anak di sana. Bila kita selidik anak-anak ini, mereka ini adalah dari kalangan keluarga berkerjaya, jurutera, pegawai-pegawai yang sibuk dan tidak ada masa untuk mereka.

Kesihan anak-anak ini, kenapa ibubapa mereka membuat keputusan sedangkal itu. Marilah kita berpesan-pesan sesama  kia agar tidak mengikut jejak langkah ibubapa dalam kisah ini. Kesihan kesihan kesihan… marilah kita doakan mereka mendapat hidayah dan anak-anak ini selamat dari tindakan dangkal ibubapa mereka :)






No comments:

Design by Abdul Munir
Visit Original Post Tas Murah Template